Anda di sini

Karnival Suria bantu YKS kumpul dana bina bangunan baharu asrama, sekolah

Advertisement
 Yunis (empat kanan) menunjukkan poster Karnival Suria barsama Datin Seri Raya (lima kanan).

KUMPUL DANA: Yunis (empat kanan) menunjukkan poster Karnival Suria barsama Datin Seri Raya (lima kanan).

KOTA KINABALU: Penganjuran Karnival Suria bantu Yayasan Kebajikan Suria (YKS) mengumpul dana bagi membina bangunan baharu asrama dan sekolah dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Pengerusi Eksekutif YKS Datin Seri Raya Erom berkata, mereka kini dalam usaha mengumpul sekurang-kurangnya RM500,000 untuk menyiapkan bangunan itu.

“Saya bercadang untuk membina sebuah lagi bangunan yang kosnya kira-kira RM1 juta di atas tanah sendiri iaitu kebun persendirian di Tuaran.

“Di sini kami menghadapi masalah dari segi dana yang sepatutnya untuk naik taraf bangunan kami yang lama.

“Tetapi, dana berkenaan tidak dapat digunakan untuk keperluan ini. Justeru, saya terpaksa gunakan wang yang ada kira-kira RM500,000 untuk meratakan tanah kebun itu,” katanya.

Jelasnya, dana yang mereka gunakan itu tidak mencukupi untuk menyiapkan bangunan baharu dan masih memerlukan RM500,000 lagi untuk sebuah bangunan sahaja tidak termasuk meja, katil dan kemudahan lain.

Beliau berkata, selain daripada aspek pembangunan, dana itu juga akan digunakan untuk kebajikan pelajar dan keluarga mereka yang mempunyai masalah kewangan atau mengalami penyakit kronik.

Menurutnya, YKS memulakan beberapa program sejak awal tahun ini seperti pertandingan melukis untuk kanak-kanak sekitar Kota Kinabalu dan Pertandingan Bintang Kecil bagi mempromosikan karnival berkenaan.

Raya berkata, mereka juga akan mengadakan beberapa pertandingan lagi seperti lumba basikal, larian dan membuat jualan seperti tudung-tudung terpakai dan baju terpakai semasa karnival itu.

Justeru katanya, KKMM menjemput beberapa jabatan kerajaan untuk turut serta dalam penganjuran karnival berkenaan.

“Ia termasuklah jabatan kerajaan, swasta, badan-badan terpilih dan juga dari syarikat-syarikat telekomunikasi di Sabah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Yunus Saprin berkata, setakat ini sekitar 39 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta termasuklah semua jabatan dan juga agensi di bawah KKMM turut terlibat dalam program berkenaan.

Katanya, sebanyak 10 buah Komuniti 1Malaysia bandar raya Kota Kinabalu terlibat dalam program selama tiga hari itu.

“Karnival Suria 2016 yang akan diadakan pada 27 hingga 29 Mei ini berlangsung di kawasan parkir Kompleks Sukan Likas.

“Ia dianjurkan bagi memberikan fokus ke arah melahirkan kesedaran masyarakat terhadap aspek kebajikan dan peranan yang dimainkan oleh YKS.

“Aktiviti-aktiviti Karnival Suria berkonsepkan seperti pameran jabatan kerajaan, swasta, NGO, demonstrasi produk, perkhidmatan dan nasihat, jualan produk, kerjaya, hiburan, serta interaktif.

“Pengisian-pengisian program pula termasuklah aktiviti seperti Kayuhan Karnival Suria, pameran kereta dan motosikal, titian mesra Radio Televisyen Malaysia (RTM), larian amal yang dibuat oleh kelab RTM, sukan rakyat, pameran dan jualan produk, aktiviti interaktif dan pertandingan Bintang 1Malaysia,” jelasnya.

Pihaknya turut menganjurkan cabutan tiket bertuah yang menawarkan sebuah kereta Perodua Axia dan sebuah motosikal serta beberapa barangan elektronik.

Selain itu katanya, turut diadakan persembahan hiburan dari artis jemputan antaranya Jamal Abdillah dan juga Rozario (juara Bintang RTM 2016).

“Tiket-tiket bertuah yang kita tawarkan akan disumbangkan sepenuhnya kepada YKS,” jelasnya.

 

Advertisement