Anda di sini

Bekas pengurus cawangan kena tujuh tahun, tiga sebatan

Advertisement

 Mohd Hairul menundukkan kepala ketika keluar dari kamar mahkamah.

PECAH AMANAH: Mohd Hairul menundukkan kepala ketika keluar dari kamar mahkamah.

KOTA KINABALU: Seorang bekas pengurus cawangan dikenakan penjara tujuh tahun dan tiga sebatan, oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, atas kesalahan melakukan pecah amanah.

Mohd Hairul Ag Marhamin dijatuhkan hukuman itu oleh hakim Noor Hafizah Mohd Salim, selepas mengaku bersalah.

Tertuduh didapati menggunakan wang hasil jualan pejabat sebanyak RM23,301.09, sekitar 16 Januari hingga 13 Oktober tahun lalu, di Pejabat Pos Menumbok.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan, hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta boleh dikenakan sebatan atau denda.

Mengikut fakta kes, pengadu sebagai Jurulatih Pos Niaga Negeri membuat pemeriksaan audit di Pejabat Pos Menumbok, mendapati terdapat kekurangan wang pejabat sebanyak RM23,301.09.

Pada 9 Mei tahun ini, pihak polis menangkap tertuduh di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort, berkaitan dengan satu laporan yang dibuat oleh pengadu.

Hasil siasatan, tertuduh bekerja sebagi pengurus cawangan di pejabat pos terbabit tidak merekodkan jualan barang ke dalam sistem wang kutipan harian kepada Pejabat Pos Beaufort.

Tertuduh hanya merekodkan hasil jualan barang secara manual dengan mengisi borang penyata hantaran.

Bagaimanapun, Pejabat Pos Beaufort tidak menerima wang daripada Pejabat Pos Menumbok, sebagaimana yang direkodkan tertuduh melalui sistem manual.

Semasa rayuan, Mohd Hairul yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan kerana mempunyai keluarga dan seorang cahaya mata.

“Sebelum ini saya ada beban hutang yang tinggi. Saya yakin isteri tidak mampu menjelaskan hutang saya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah berkata, tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, namun kesalahan pecah amanah adalah serius.

“Tertuduh mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepadanya dan menyebabkan kerugian kepada Pejabat Pos Menumbok,” katanya.

Menurutnya, kepentingan awam perlu diutamakan dan pihaknya memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh.

 

 

Advertisement