Anda di sini

Lima diberi Anugerah Bomba di Labuan

Advertisement

 Zainal (tengah) mengucapkan tahniah kepada dua individu atas usaha dan keberanian mereka menyabung nyawa untuk menyelamatkan keluarga, pelajar dan kanak-kanak daripada rumah dan bangunan terbakar akhir tahun lepas dan awal tahun ini. — Gambar Bernama

PENGIKTIRAFAN: Zainal (tengah) mengucapkan tahniah kepada dua individu atas usaha dan keberanian mereka menyabung nyawa untuk menyelamatkan keluarga, pelajar dan kanak-kanak daripada rumah dan bangunan terbakar akhir tahun lepas dan awal tahun ini. — Gambar Bernama

LABUAN: Tiga individu dan dua anggota bomba yang menyabung nyawa untuk menyelamatkan keluarga, pelajar dan kanak-kanak daripada rumah dan bangunan terbakar akhir tahun lepas dan awal tahun ini diberi pengiktirafan sewajarnya.

Keberanian dan pengorbanan mereka untuk menyelamatkan insan yang berdepan dengan keadaan yang mengancam nyawa, terutama kebakaran, tidak dipandang remeh, malah dipilih Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan sebagai penerima ‘Anugerah Bomba’ bersempena sambutan Hari Bomba Sedunia peringkat Labuan di sini semalam.

Hanya dengan berbekalkan satu alat pemadam api, Asiran Jamana sanggup menggadai nyawanya bagi memadam kebakaran di sebuah rumah dan menghalangnya daripada merebak ke rumah lain di Simpang Maun, Kg Lubok Temiang, pada jam 4.30 pagi 23 April 2016.

“Pada awal pagi hari berkenaan, rumah jiran saya dijilat api. Tanpa berlengah, saya capai alat pemadam api lalu bergegas ke rumah yang sedang terbakar itu dan mula memadamkan api, sambil memekik kepada jiran lain supaya bangun. Tidak terfikir langsung tentang bahaya ketika itu kerana saya hanya ingin menjalankan tanggungjawab sebagai jiran,” katanya.

Sebenarnya, itu bukan kali pertama Asiran mempamerkan keberaniannya kerana pada 2002, beliau menyelamatkan dua anggota bomba daripada maut dalam kebakaran sebuah bot nelayan.

Warga emas, Jimah Sadio, pula menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Rancha-Rancha pada 18 Nov tahun lepas sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.

“Saya sedang sibuk dengan kerja di luar rumah saya apabila terdengar laungan “api, api” dan mendapati rumah yang terbakar itu adalah rumah adik saya (bersebelahan rumahnya), manakala anaknya berada di dalamnya dan api mula merebak dengan pantas.

“Saya terus meluru masuk ke dalam rumah itu dan mula mencari kanak-kanak berkenaan. Keadaannya panas dan saya rasa tak tertahan dengan habanya. Saya tidak fikir perkara lain, kecuali ingin mendapatkan budak itu dan terus keluar.

Syukurlah, saya berjaya menjumpai mangsa sebelum keadaan terlalu terlambat,” katanya kepada Bernama.

Rodney Maghinay pula diberi anugerah itu kerana pengorbanannya dalam menyelamatkan seorang ibu dan anaknya dalam kebakaran rumah mereka di Jalan Bukit Timbalai, Kampung Sungai Pagar pada 4 Mei.

Anggota bomba yang menerima anugerah berkenaan pula ialah Pegawai Kanan II Yamin Rantie, yang menyelamatkan sekumpulan pelajar Tahfiz Al-Ummi ketika bangunan sekolah agama itu terbakar pada 21 Okt tahun lepas.

Seorang lagi anggota bomba, Pegawai Kanan 1 Ahmad Mazlan Mohd Noor, menerima anugerah itu kerana jasanya membantu memadamkan kekaran di kuarters Jabatan Marin.

“Saudara semua merupakan individu dan anggota bomba yang berani, yang sanggup menggadai nyawa dalam keadaan kecemasan, bukan kerana mengharapkan anugerah. Saudara semua melakukannya semata-mata untuk menyelamatkan manusia yang memerlukan bantuan,” kata pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin kepada para penerima anugerah itu selepas menyampaikan Watikah Penghargaan dan plak kepada mereka. — Bernama

 

Advertisement