Anda di sini

Kerajaan negeri bantu KPM pacu kecemerlangan pendidikan

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa komited memberi sepenuhnya kerjasama kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam usaha memacu kecemerlangan selaras merealisasikan agenda pembangunan pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, antara usaha yang diberi tumpuan termasuk penyediaan prasarana yang lengkap di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman seperti sekolah di bandar bagi merapatkan jurang perbezaan dalam bidang pendidikan.

“Kerajaan negeri sentiasa mendokong penuh usaha kerajaan pusat khususnya menerusi KPM untuk mempertingkat dan menambah baik sektor pendidikan negara selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

“Pada masa sama, kita juga optimis bahawa matlamat ini akan dapat dicapai dengan pelaksanaan pelbagai dasar dan program transformasi sistem pendidikan negara agar terus relevan dengan keperluan dan kelestarian pendidikan yang lebih berkualiti,” katanya berucap sempena Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Apresiasi Pendidik sempena sambutan Hari Guru ke-45 di Dewan Serbaguna Kompleks Kerajaan Persekutuan di sini, malam Ahad.

Musa berkata kerajaan sedar bahawa untuk merealisasikan matlamat berkenaan bukanlah suatu perkara yang mudah kerana keberhasilan dan impaknya tidak dapat dilihat dalam masa yang singkat.

Oleh yang demikian, katanya, kejayaan para guru dalam merealisasikan amanah besar ini sudah bermakna ia juga kejayaan kerajaan dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu, maju serta makmur.

“Inilah antara amanah penting dan tanggungjawab besar yang digalas oleh para guru di seluruh negara, bertepatan dengan tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

“Saya percaya melalui komitmen dan dedikasi para guru dengan kerjasama padu semua pihak termasuklah ibu bapa, komuniti, sektor swasta dan segenap lapisan masyarakat, kecemerlangan pendidikan di negara kita akan dapat terus kita tingkatkan,” katanya.

Mengenai majlis berkenaan, Musa merakamkan tahniah kepada para penerima anugerah atas komitmen mereka selaku pendidik yang melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.

Beliau berkata, para penerima perlu menjadikan anugerah yang diterima sebagai pencetus semangat untuk terus mencurahkan khidmat bakti kepada anak-anak bangsa dan negara.

Selain itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada KPM atas kepercayaan dan penghormatan kepada Negeri Sabah sebagai tuan rumah Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

Katanya, majlis itu jelas membuktikan penghormatan, penghargaan dan pengiktirafan kepada para pendidik sebagai pelaksana, penggerak, pembina dan penentu kecemerlangan pendidikan negara.

Hadir sama Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Maimunah Suhaibul serta Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Exco Pendidikan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

 

Advertisement