Anda di sini

Bahasa bukan penentu kualiti pemikiran manusia

Advertisement
 Ewon (tengah) bergambar kenangan bersama pelajar SK Libang yang lengkap berpakaian tradisi.

PELIHARA BAHASA: Ewon (tengah) bergambar kenangan bersama pelajar SK Libang yang lengkap berpakaian tradisi.

RANAU: Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin berkata penggunaan sesuatu bahasa dalam pertuturan harian tidak menggambarkan kualiti pemikiran orang yang bertuturnya.

Katanya, apa sahaja jenis bahasa yang digunakan, sama ada bahasa Inggeris, Melayu, Cina, Kadazandusun dan sebagainya, pasti tidak menghadkan cara manusia berfikir dan melakukan yang terbaik untuk diri sendiri, komuniti, negara atau antarabangsa.

“Walaupun bahasa Inggeris itu merupakan bahasa antarabangsa yang diiktiraf seluruh dunia, namun tahap pemikiran kita yang menggunakan bahasa Melayu, Kadazandusun, Bajau, Murut dan sebagainya tidak terkongkong atau terbatas untuk berfikir benda lain dalam mengejar kemajuan.

“Sebagai contoh, orang Jepun, Jerman, China dan Korea menggunakan bahasa mereka sendiri namun mereka boleh berjaya dalam segala bidang,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Kibbas dan Kokob, di sini.

Justeru, Ewon yang juga presiden Pertubuhan Dusun Sabah Bersatu (USDA) mengajak seluruh masyarakat Kadazandusun dan Murut supaya tidak segan-segan untuk bertutur bahasa ibunda mereka bagi menjamin bangsa itu sendiri tidak akan pupus selamanya.

“Sempena menyambut Tadau Kaamatan pada bulan Mei ini, kita seharusnya menjadikan bulan ini sebagai bulan bertutur bahasa Kadazandusun dan Murut.

“Saya tahu ramai generasi muda yang agak segan atau kekok untuk bertutur bahasa ibunda mereka kerana faktor-faktor tertentu, bagaimanapun saya menggesa masyarakat kita ini supaya berfikir lebih positif dan terus cuba mempraktikkan bahasa itu.

“Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan menggunakannya dan kalau kesedaran ini diabaikan terus-menerus, maka tidak hairan kalau 50 tahun akan datang bahasa Kadazandusun akan lenyap bersama-sama dengan bangsa itu sendiri,” tambahnya.

Ewon berkata bagi membantu generasi muda yang kurang terdedah dengan penggunaan bahasa Kadazandusun, pihak USDA kini sedang dalam persiapan terakhir menyusun kamus bahasa Dusun sebagai rujukan.

Sempena perayaan Kaamatan di Kampung Kibbas, Ewon telah dibawa melawat bangunan Gereja St Agustine di situ yang telah retak akibat gempa bumi yang melanda Ranau tahun lalu, di mana beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM17 ribu untuk membaikinya.

Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM15 ribu bagi pembelian tangki air untuk penduduk kampung itu serta RM5,000 untuk membina pondok Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah kebangsaan kampung berkenaan.

Sementara di Kampung Kokob, Ewon juga meluluskan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk pembelian peralatan sukan kepada belia kampung itu serta RM1,000 sebagai sumbangan kepada wakil penari tradisi dari SK Libang yang terpilih untuk bertanding di peringkat negeri.

Pada majlis di Kokob, beliau turut menerima kira-kira 250 borang keahlian USDA dari tiga kampung iaitu Kokob, Libang dan Marakau.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua PBS Bahagian Karanaan Danis Buik, Setiausaha Politik Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Amisah Yassin, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Johnny Samin dan Pegawai Khas Parlimen Japirin Sahadi.

Advertisement