Anda di sini

Sebanyak 40 sekolah terlibat IBS di Sabah

Advertisement

KOTA KINABALU: Sebanyak kira-kira 40 buah sekolah akan terlibat dalam projek Sistem Bangunan Berindustri (IBS) di seluruh Sabah.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, melalui perbincangan yang telah diadakan, banyak perkara dibangkitkan terutamanya yang melibatkan pendidikan terutamanya pembangunan fizikal sekolah.

“Salah satu perkara yang saya kira patut diambil perhatian adalah hal yang berkaitan dengan pembangunan fizikal di Sabah dan juga di Sarawak.

“Dalam hal yang berkaitan dengan pembangunan fizikal di Sabah dan di Sarawak, kalau kita kata di Sarawak, yang amat berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan ada projek IBS iaitu kira-kira 40 buah sekolah uzur dan kritikal,” katanya pada majlis Sepetang Bersama Menteri Pendidikan, di sini kelmarin.

Katanya, Sabah juga tidak ketinggalan dalam pelaksanaan projek berkenaan.

“Di Sabah juga ada sistem IBS yang kita akan laksanakan iaitu buat permulaan ini kita akan mulakan IBS ini kira-kira 40 buah sekolah seluruh Sabah,” katanya.

Pemilihan sekolah yang akan terlibat dalam projek itu adalah berdasarkan keutamaan yang dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah seperti di pedalaman, Keningau, Tenom, Pensiangan, Tawau ataupun di Pantai Barat, Sandakan mahupun Ranau.

Katanya, projek berkenaan berkemungkinan akan dilaksanakan di Sabah pada Jun tahun ini.

“Pembinaan itu mengambil masa dalam lapan minggu untuk disiapkan satu-satu bangunan bergantung kepada tempat dan kontraktor yang dilantik,” katanya.

Katanya lagi, sistem IBS ini membaik pulih bangunan sekolah yang uzur dan kritikal dan enam bilik darjah dalam satu-satu bangunan dilengkapi dengan bekalan elektrik, bekalan air, bilik air seperti yang telah dijalankan di Sarawak.

“Setakat ini, lapan buah sekolah hampir siap dibina di Sarawak,” katanya.

Advertisement