Anda di sini

PMR bantu salur maklumat tepat

Advertisement

KENINGAU: Pusat Maklumat Rakyat (PMR) penting bagi membantu menyalurkan maklumat lebih tepat di media sosial dalam usaha membantu kerajaan memperjelaskan sesuatu isu yang berlaku.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor Kennedy Jie John berkata, semua pihak perlu mengambil tindakan segera memperjelaskan perkara sebenar dalam usaha menangkis fitnah dan tohmahan tidak bertanggungjawab di laman sosial Facebook, WhatsApp, blog dan sebagainya.

“Pemimpin akar umbi dan agensi kerajaan wajar bekerjasama memperjelaskan setiap perkara dan memahami isu semasa serta mengetahui dasar sebenar yang diaspirasikan kerajaan.

“Melalui kunjungan ini, secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan baik antara agensi kerajaan di Jabatan Penerangan (JAPEN) dengan pejabat UPPM Bingkor dan pengerusi JKKK,” katanya ketika menghadiri Program Pengimarahan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) di Pejabat Penerangan Daerah Keningau, kelmarin.

Kunjungan itu turut disertai 25 orang terdiri kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bingkor bersama pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Bingkor.

Kennedy berkata, aktiviti seumpama itu penting terutama kepada pengerusi dan kakitangan di UPPM bagi mendapat gambaran dan penjelasan sebenar tentang program serta peranan yang dimainkan di PMR JAPEN.

Terdahulu, Penolong Pegawai Penerangan Daerah Isnaniwati Imran menerangkan bahawa tujuan JAPEN mempromosi PMR dalam kalangan pemimpin adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat bahawa PMR menyediakan kemudahan kepada orang ramai mendapatkan maklumat lebih telus dan tepat.

Katanya, pusat itu menjadi penghubung antara pemimpin dan masyarakat dalam penyaluran maklumat dasar dan bantuan kerajaan kepada orang ramai selain menyampaikan masalah rakyat kepada kerajaan.

Advertisement