Anda di sini

ESSCom tahan 47 PATI dalam Ops Gasak 4 di Sandakan

Advertisement

Operasi beri tumpuan di kawasan perkampungan atas air

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) semalam menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua individu kerana menggunakan bot pam dalam Ops Gasak 4 di Kampung Bahagia, di perkampungan atas air, dekat sini semalam.

Ketua Staf Pasukan Khas ESSCom SAC Md. Rusli Mat Junus berkata operasi yang bermula pada jam 4 pagi dan berakhir pada 10.45 pagi itu memberi tumpuan terhadap perkampungan atas air yang disyaki menjadi tempat persembunyian PATI.

Katanya dalam operasi berkenaan, sebanyak 215 orang diperiksa dan daripada jumlah tersebut 110 orang dibawa ke pusat tahanan sementara (PTS) Sandakan untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya setelah diperiksa, seramai 47 PATI ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk proses dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

“Mereka yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah atau memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya ketika operasi berkenaan di Pusat Pengumpulan Sementara, di Kampung Bahagia di sini.

Turut hadir, Ketua Staf Pasukan Khas SAC Awang Besar Dullah, Asisten Ketua Staf Pusat Operasi Kol Nahar Azmi Mahmud, Asisten Ketua Staf Pasukan Khas ACP Mohamad Abdul Halim dan Komander Briged ESSCom Kol. Abdul Razak Harun.

Md Rusli berkata Ops Gasak ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ESSCom untuk membersihkan negara ini khususnya pantai timur Sabah daripada PATI.

Beliau berkata selain ESSCom, operasi ini turut disertai Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Perbandaran Sandakan, Polis, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasa Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Menurutnya operasi kali ini dilaksanakan serentak dengan operasi membenteras penyambungan elektrik haram di kawasan setinggan yang telah mengakibatkan kerugian besar kepada SESB dan kerajaan.

“Kita juga menahan dua individu lain atas kesalahan menggunakan bot pam,” katanya.

Beliau berkata ESSCom akan memperluaskan operasi seumpama ini ke daerah  lain di kawasan timur Sabah. — Bernama

Advertisement