Anda di sini

Dekati belia jadi tumpuan USIA dalam dakwah Islam

Advertisement

SANDAKAN: Usaha mendekati belia menjadi tumpuan kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dalam penyebaran dakwah di negeri ini, kata Ketua Belia USIA Jamawi Jaafar.

Beliau berkata untuk tujuan itu, USIA telah melantik 12 pendakwah muda yang ditugaskan menyebarkan dakwah dan mendekati golongan belia.

“Untuk lebih fokus, USIA telah menetapkan untuk mengadakan program ilmu mengikut zon di negeri ini pada setiap tiga bulan,” katanya ketika merasmikan Program Jambori Belia USIA Zon 5 di Masjid Daerah Sandakan, malam kelmarin.

Seramai 250 belia menyertai program itu yang tertumpu kepada Zon 5 iaitu daerah Beluran, Kinabatangan, Sandakan dan Sugut.

Jamawi berkata Program Jambori Belia USIA menjadi platform untuk bertemu anak-anak muda bagi membincangkan isu semasa dan ini peluang mereka bagi melontarkan soalan terbuka dan tidak terikat mengenai isu agama sahaja.

Katanya objektif program adalah untuk mendidik sikap berdikari, menuntut ilmu agama dan memupuk semangat berganding bahu dalam satu ukhuwah kepimpinan dalam kalangan belia hari ini.

Menurutnya pengisian program yang merangkumi fardu ain dan kifayah itu dapat melahirkan ‘Mini Da’i’ yang boleh menyampaikan ilmu yang dipelajari kepada masyarakat.

Sementara itu, seorang peserta Jambori Belia USIA, Muhammad Azwan Mukram, 20, berkata dia teruja menyertai jambori seperti ini kerana banyak aktiviti disediakan seperti ceramah, kursus dan juga aktiviti luar.

Katanya, program yang diadakan tiga hari dua malam itu menjadi paltform bagi golongan belia seperti mendalami ilmu agama serta dapat mengisi masa terluang dengan aktiviti bermanfaat.

Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata USIA telah mendirikan dua sekolah pondok agama bagi membimbing golongan mualaf untuk terus mendekati diri dengan Islam.

Katanya pada Mac lalu, USIA Zon Pedalaman iaitu daerah Tenom, Nabawan, Keningau, Pensiangan dan Tambunan mengadakan program bersama mualaf yang disertai seramai 250 mualaf bagi memberi galakan serta tunjuk ajar mengenai kesucian agama Islam. — Bernama

Advertisement