Anda di sini

11,172 majikan berdaftar di Sandakan

Advertisement

SANDAKAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sandakan merekodkan sejumlah 11,172 majikan berdaftar di daerah ini bagi tempoh sehingga April 2016, dengan 7,629 daripadanya adalah majikan aktif.

Bagi tempoh yang sama, sebanyak 134 majikan telah dikenakan kompaun atas kesalahan Gagal Daftar Perusahaan (Seksyen 4, Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969) dan Gagal Daftar Pekerja (Seksyen 5, AKSP 1969), susulan daripada operasi yang dijalankan.

PERKESO Sandakan juga telah membayar sejumlah RM413,935.75 bagi keseluruhan kes faedah termasuk faedah perubatan dan bayaran ganti belanja, manakala sebanyak 122 kes telah dibayar yang merangkumi Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Pencen Ilat, Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura sDatuk Au Kam Wah berkata, berdasarkan statistik-statistik berikut jelas menunjukkan PERKESO Sandakan komited terhadap tanggungjawab dan peranan diberi.

Selain itu katanya, pertubuhan berkenaan juga melaksanakan Program Saringan Kesihatan khususnya kepada pekerja berumur 40 tahun ke atas dengan diberikan baucar membuat saringan kesihatan di klinik-klinik panel yang berdaftar.

Untuk menggalakkan lebih ramai menjalani saringan kesihatan itu, beliau berkata PERKESO memberikan baucar bagi tahun 2013, 2014 dan 2015 yang masih boleh diguna pakai sepanjang tahun 2016 sehingga tempoh diberitahu kelak.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Program Seminar Bersama Pemimpin Masyarakat PERKESO Tahun 2016 anjuran PERKESO Sandakan di Hotel Amanson Signature di sini, kelmarin.

Au Kam Wah berkata, program seumpama itu merupakan salah satu usaha murni PERKESO untuk menyampaikan peranan dan tanggungjawab mereka kepada majikan dan pekerja, selain penganjuran program-program pencegahan kemalangan, program saringan kesihatan, program kembali bekerja semula dan sebagainya.

Beliau berharap program itu dapat meningkatkan kesedaran para pemimpin masyarakat berkaitan kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerja di tempat kerja serta dalam perjalanan pergi dan balik kerja.

Di samping dapat menyampaikan maklumat berkaitan, beliau berharap kadar kes kemalangan yang berlaku dapat dikurangkan sekali gus melahirkan pekerja yang sentiasa mementingkan keselamatan pekerjaan untuk pembangunan ekonomi mereka.

Sementara itu, Pengurus PERKESO Sandakan Joseph Immanuel berkata, tujuan utama program itu adalah untuk memberi pendedahan kepada wakil pemimpin masyarakat mengenai faedah-faedah, akta dan peraturan yang dilaksanakan oleh PERKESO.

Beliau berharap, pendedahan itu dapat disampaikan kepada orang di bawah pimpinan mereka mengenai keistimewaan mendaftar dan mencarum dengan PERKESO.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Eksekutif Kanan PERKESO Sandakan, Sahriah Sennawing.

Advertisement