Hampir RM100 juta peruntukan khusus untuk pembangunan kemudahan di IKM Bintulu, kata Salmah
// Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //
BINTULU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) diberikan peruntukan hampir RM800 juta di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi penyediaan peralatan program baharu dalam pembangunan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII) termasuk Institut Kemahiran MARA (IKM).
Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Salmah Hayati Ghazali berkata, hampir RM100 juta daripadanya khusus untuk pembangunan kemudahan di IKM Bintulu.
Katanya, penyediaan kemudahan latihan serba lengkap dan mahal tidak hanya bagi tujuan pembelajaran pelajar di IKM semata-mata tetapi ruang turut dibuka untuk agensi luar serta industri memanfaat segala peralatan bagi program bersesuaian.
“Antaranya latihan jangka pendek warga kerja, projek inovasi, kreativiti, pembinaan dan fabrikasi projek,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen IKM Bintulu Kali Ke-2 di Dewan Perdana IKM Bintulu semalam.
Salmah menjelaskan, selain itu beberapa langkah diambil untuk merangsang pertumbuhan perndapatan kumpulan aspirasi dalam kalangan isi rumah termasuk menerusi latihan kemahiran tinggi bagi meningkat peluang mendapat pekerjaan bergaji tinggi dalam bidang teknikal.
“MARA dilantik sebagai Rakan Strategik Institut Pendidikan Tinggi Malaysia bagi Projek Khas YAB Perdana Menteri iaitu Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016.
“Jelajah ini melibat 78 parlimen di seluruh negara bagi membantu golongan kurang berkemampuan melanjutkan penganjian di institusi terpilih,” katanya semasa berucap merasmikan
Beliau berkata, institusi pendidikan dan latihan kemahiran MARA menyedia lebih banyak tempat bagi kumpulan pelajar ini berdasar kriteria kelayakan dan kuota kemasukan khas IKM.
“Pertimbangan khas akan diberi kepada pelajar berpotensi dalam kalangan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
“Ini termasuk mereka yang tinggal di luar bandar, pedalaman Sabah dan Sarawak dengan meningkatkan akses kepada pendididkan kemahiran berkualiti,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, MARA telah menaik taraf program tahap sijil di IKM kepada program tahap diploma seperti bidang pembuatan, automotif, penyaman udara, penyejukan dan kimpalan.
Jelasnya, di IKM Bintulu bermula sesi pengambilan pelajar Julai 2016 dua program ditawar di peringkat sijil iaitu Sijil Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Instrumentasi dan Kawalan serta Sijil Teknologi Kejuruteraan Operasi Loji akan dinaik taraf ke peringkat diploma.
“Secara purata kebolehpasaran graduan teknikal MARA merupakan 97 peratus yang mana status bekerja sebanyak 67 peratus, 24 peratus melanjutkan pengajian dan 6 peratus menjadi usahawan.
“Ini menjadi tanda aras dan bukti bahawa penerimaan pihak industri adalah tinggi terhadap graduan IKM dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM),” katanya.
Ujarnya, ia berdasarkan keupayaan dan tahap kompetensi teknikal graduan IKM dan KKTM ini yang tidak boleh dipertikaikan.
Beliau berkata, melalui program pendidikan, MARA berjaya melahir jutaan pelajar cemerlang dan berkemahiran yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Jelasnya, untuk mengukuhkan usaha ini penubuhan Universiti MARA (UniMARA) adalah bertepatan dan kemuncak kepada sistem pendidikan cemerlang MARA.
“Untuk pelaksanaan tahun 2016-2020, UniMARA menawarkan empat bidang kluster utama di peringkat pasca siswazah dan pengiktirafan profesional iaitu polisi awam dan tadbir urus, pendidikan eksekutif, pengiktirafan profesional perakaunan dan kewangan serta pengiktirafan kejuruteraan,” tambahnya.
Turut hadir pada majlis itu Pengarah IKM Bintulu, Azman Alik@Ali serta ahli senat bahagian kemahiran dan teknikal MARA.
Seramai 167 graduan menamatkan pengajian mereka menerima sijil masing-masing membabitkan Sijil Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Struktur, Fabrikasi Perpaipan, Pemasangan Elektrik, Operasi Loji, Instrumentasi dan Kawalan Loji termasuk penyampaian anugerah khas industri untuk pelajar terbaik dan pelajar cemerlang IKM Bintulu.