Anda di sini

Orang ramai digalak mohon RMR, k’jaan sedia subsidi sehingga RM20,000

Advertisement

MEMBAKUT: Orang ramai yang belum memiliki rumah digalak memohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang disediakan kerajaan menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Arifin Arif berkata sejak diperkenalkan pada 2005, ia seharusnya diambil peluang oleh masyarakat yang mempunyai tanah sendiri.

Katanya, kerajaan turut menyediakan subsidi sehingga RM20,000 bagi membantu mengurangkan sedikit beban pemohon yang rata-ratanya terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

“Kadar bayaran bulanan bagi RMR yang berharga RM71,000 ini juga amat rendah dan sangat berpatutan iaitu difahamkan RM300 sebulan dalam tempoh 25 tahun.

“Ini membuktikan kerajaan kita amat prihatin terhadap keperluan rakyat khususnya mereka yang tidak mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Pelaksanaan RMR Bersama SPNB, di sini kelmarin.

Turut serta dalam majlis itu, Ketua Kawasan SPNB Negeri Sabah Mohd Haffiz Sua Abdullah.

Sebanyak tiga projek RMR di kawasan ini telah diserahkan kepada kontraktor dilantik di majlis yang diadakan di Pejabat Unit Pegawai Pembangunan Masyarakat UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut.

Dalam pekembangan berkaitan, Ariffin yang juga Adun Membakut meminta kontraktor yang dilantik supaya melaksanakan kerja pembinaan RMR dengan penuh tanggungjawab.

“Saya meminta para kontraktor yang telah diberi kepercayaan ini agar melaksanakan kerja pembinaan RMR yang berkualiti serta memenuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Haffiz berkata setakat ini, terdapat lebih 20 RMR telah dibina di kawasan ini, manakala sebanyak sembilan permohonan telah pun berada dalam proses kelulusan pihaknya.

“Selain tiga RMR yang bakal dibina di Membakut, pihak kami juga akan melaksanakan projek sama iaitu satu di DUN Bongawan dan dua di DUN Kuala Penyu,” katanya.

Advertisement