Anda di sini

Bot karam: Naluri Ali Hassan kuat mengatakan Armella akan pulang

Advertisement

KOTA KINABALU: Naluri Ali Hassan Mohd Dusi sebagai bapa kuat mengatakan anak perempuannya Armella, yang dilaporkan hilang di Pulau Balambangan, Kudat pada 2 Mei lepas, akan kembali ke pangkuan keluarganya.

Walaupun sudah dilaporkan hilang selama 10 hari, namun, Ali Hassan, 61, tetap mempunyai perasaan bahawa Armella, 23, seorang daripada empat mangsa bot karam di perairan Kudat itu, akan pulang dengan selamat.

“Saya masih mempunyai perasaan itu dan naluri saya kuat mengatakan bahawa anak perempuan saya akan pulang,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menunggu ketibaan anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini pagi semalam.

Armella bersama tiga individu lain iaitu pasangan suami isteri warga Sepanyol David Hernandez Gasulla dan Martha Miguel serta seorang warga China Lam Wai Yin Tommy dibawa pulang menggunakan Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kira-kira jam 9.15 pagi semalam.

Mereka sebelum itu ditemui selamat dan berada di sebuah bot milik nelayan Vietnam sebelum dipindahkan oleh pasukan keselamatan ke kapal maritim KM Bistari pada jam 6 petang kelmarin.

Dalam pada itu, Ali Hassan merakamkan penghargaan kepada semua pasukan keselamatan yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa, dalam masa sama, berterima kasih kepada nelayan Vietnam kerana menyelamatkan anaknya yang hanyut dibawa arus deras laut.

Ali Hassan, yang menerima panggilan dan mendengar suara Armella kelmarin, begitu terharu dan bersyukur kerana ketabahan dan kekuatan diri serta doa mereka untuk melihat Armella pulang dengan selamat akhirnya termakbul.

Sementara itu, Timbalan Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Sun Xiaowu turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan Sabah khususnya anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa termasuk seorang warga China. — Bernama

Advertisement