Anda di sini

Kerajaan sedia pelbagai prasarana tingkat sosioekonomi belia

Advertisement
 Nilwan (bertopi) terpegun melihat pameran baju kurung dan baju Melayu yang direka oleh para peserta kursus berkenaan.

KEMAHIRAN: Nilwan (bertopi) terpegun melihat pameran baju kurung dan baju Melayu yang direka oleh para peserta kursus berkenaan.

TENOM: Pelbagai prasarana pembangunan disediakan oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan sosioekonomi golongan belia-beliawanis serta suri rumah di luar dan dalam bandar.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Nilwan Kabang berkata peluang sedia ada perlu direbut oleh golongan berkenaan berbanding mengharapkan bantuan semata-mata.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat Kursus Jahit-Menjahit anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Dewan Seri Panglima Antanom, di sini pada Selasa. Beliau mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Melalap Datuk Radin Malleh.

Nilwan berkata selain bidang jahit-menjahit khusus bagi golongan wanita, di pihak KPLB juga menyediakan pelbagai usaha yang lain antaranya melalui bidang pertanian, penternakan ikan dan banyak lagi yang bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berdaya maju dalam pelbagai sektor.

Sementara itu, Setiausaha Rendah Bahagian Dasar KPLB Yahya Abdul Karim berkata bidang jahitan yang dianjurkan oleh KPLB selama dua bulan di daerah Tenom bertujuan membantu dan memberi pelbagai pengetahuan dalam seni bidang jahitan kepada golongan wanita di luar bandar yang terdiri suri rumah untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

“Hasil keuntungan menjahit ini boleh mencecah RM1,000 sehingga RM3,000 sebulan sekiranya mereka komited dalam bidang itu sebaik mempelajari semua teknik yang diajar melalui kursus berkenaan,” katanya.

Sementara itu, para peserta terdiri golongan wanita mengikuti kursus berkenaan berkata pelaksanaan projek khidmat masyarakat kursus jahit-menjahit yang dianjurkan oleh KPLB amat bertepatan untuk membantu golongan wanita di luar dan dalam bandar, khususnya daripada kalangan suri rumah dan ibu tunggal yang berpendapatan rendah untuk memiliki kemahiran dalam bidang jahitan.

Bagi Stephanie Christy Rawi, 28, dari Kg Bunut, kursus yang disertainya itu mengajar banyak benda baharu tentang teknik dan cara yang betul untuk menjahit baju.

Katanya, dengan adanya pengetahuan yang dipelajarinya membolehkan beliau berkecimpung dalam bidang keusahawanan melalui kemahiran yang dipelajarinya itu pada masa akan datang bagi menjana pendapatan sampingan.

Bagi dua peserta iaitu Irene @Mariana Jumandi, 32, dari Kg Tumantalik dan Masliah Sidek, 46, dari Kg Saga Laut, mereka mengikuti kursus itu disebabkan minat yang mendalam dalam seni jahitan.

Jelas mereka, pelbagai manfaat diperolehi sebaik mengikuti kursus itu yang perlu direbut oleh golongan wanita terutamanya bagi mereka yang mempunyai kemahiran sedia ada.

Hadir sama, Pengawai Daerah Tenom Madiyem Layapan, Penolong Pengawai Daerah Tenom dan Kemabong Kassim Yunus dan Jasli Tindi serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat Melalap Simon Mamat.

 

 

Advertisement