KERJAYA MULIA: Heric memotong kek sejurus melancarkan sambutan Hari Jururawat Peringkat Hospital Queen Elizabeth.
KOTA KINABALU: Para jururawat di negeri ini disaran agar sentiasa meningkatkan ‘soft skills’ setiap masa dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan.
Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr Heric Corray berkata kemahiran soft skills merujuk keterampilan seorang jururawat dalam berkomunikasi, bekerjasama dengan orang lain, kemampuan memecahkan masalah serta mampu berfikir secara strategi dan kreatif dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Katanya, pengamalan soft skills merupakan satu elemen yang penting di dalam perawatan kejururawatan yang memerlukan pemantauan dari masa ke masa.
“Sehubungan itu, setiap jururawat perlu mengamalkan pendekatan 10s yang diperkenalkan Bahagian Kejururawatan iaitu senyum, salam, segera, sentuh, sensitif, sopan dan segak yang telah dilancarkan pada tahun 2006, dan ditambah pula dengan 3s pada tahun 2008 iaitu selia, selidik dan semangat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pelancaran Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa yang diraikan setiap tahun pada tarikh 12 Mei dan Perhimpunan Bulanan Peringkat HQE 2016 bertempat Auditorium, Menara Berkembar HQE, di sini pagi kelmarin.
Heric berkata dalam memartabatkan profesion kejururawatan,” setiap jururawat wajib melayan pesakit sebagaimana kita mahu kita dilayan jika kita terbaring di hospital.”
Beliau turut berharap dan menggesa semua jururawat supaya dapat memberi perhatian segera kepada pelanggan dan pada waktu yang sama, jururawat perlu bertindak secara rasional mengikut keutamaan dan keperluan pesakit, dengan perkataan lain, pesakit kritikal hendaklah diberi keutamaan.
Majlis Pelancaran Sambutan Hari Jururawat peringkat HQE turut diserikan dengan ceramah motivasi, persembahan koir serta lafaz ikrar kalangan jururawat dan pegawai kanan hospital.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengarah Klinikal I Dr Yogendra A/L Panchalingam, Timbalan Pengarah Klinikal II Dr Irene Chau serta Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan HQE Jasnawati Jasmin.