Anda di sini

48 kertas siasatan dibuka berkaitan ketidakpatuhan undang-undang

Advertisement

KOTA KINABALU: Sebanyak 48 kertas siasatan telah dibuka oleh Suruhanjaya Tenaga berkaitan ketidakpatuhan undang-undang pada tahun lalu.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting berkata daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus adalah kes kemalangan elektrik dan 29.2 peratus adalah kes penggunaan elektrik, pemasangan elektrik dan kontraktor elektrik.

“Jumlah kertas siasatan yang dibuka telah meningkat sebanyak 17 peratus berbanding tahun 2014.

“Manakala, sehingga April 2016, sebanyak 20 kes telah dilaporkan dan menunjukkan peningkatan berbanding pada tahun lepas,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Bijak Tenaga ‘Pengukuhan dan Pematuhan Perundangan’, di sini kelmarin.

Anita berkata antara kes dilaporkan adalah kecurian dan penggunaan tenaga elektrik dengan curang yang telah menjadi isu dan perhatian Suruhanjaya Tenaga.

Katanya, Sabah telah mencatatkan aktiviti kecurian atau penggunaan tenaga elektrik dengan curang yang tinggi di dalam negara.

“Oleh itu, Suruhanjaya Tenaga dengan kerjasama pihak pembekal kini sedang giat merancang tindakan penguatkuasaan ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab selain berusaha mendidik masyarakat melalui kempen-kempen kesedaran dan ceramah yang diatur kepada orang ramai dan pihak industri.

“Hal ini kerana, terdapat kes-kes kemalangan yang melibatkan kematian dalam kalangan anggota kerja awam ketika menjalankan tugas disebabkan terkena renjatan elektrik berpunca daripada pendawaian elektrik secara haram,” katanya.

Pada tahun 2015 sahaja, Anita berkata penguatkuasaan dijalankan terhadap 104 permis yang disyaki melakukan aktiviti berkenaan dengan 22 kompaun dikenakan serta dua tindakan mahkamah diambil.

Katanya, melalui penguatkuasaan itu pindaan ke atas Akta Bekalan Elektrik telah dilakukan bagi memastikan ia mampu menghadapi perkembangan penambahbaikan infrastruktur sedia ada ke arah meningkatkan keberkesanan aktiviti ekonomi serta meningkatkan daya saing dalam pembekalan elektrik negara.

“Pindaan ini juga diharap dapat meningkatkan aspek keselamatan, perlindungan kepada pengguna dan juga penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Beliau berharap dengan pindaan dan pengukuhan terhadap undang-undang bekalan elektrik, maka kes-kes penggunaan elektrik secara curang dan kes-kes kemalangan elektrik di negeri ini khususnya akan berkurangan.

 

 

Advertisement