Anda di sini

Kastam akan perkenal U-Custom ganti SKM

Advertisement

Tingkatkan mutu perkhidmatan, jalan penyelesaian terhadap isu berkaitan ketirisan hasil

 Salah seorang pelanggan jabatan menerima penghargaan daripada Aziz dan turut diperhatikan Timothy.

PENGHARGAAN: Salah seorang pelanggan jabatan menerima penghargaan daripada Aziz dan turut diperhatikan Timothy.

LAHAD DATU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memperkenalkan U-Customs bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SKM) ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan dalam urusan perdagangan eksport dan import.

Timbalan Pengarah Kastam Negeri Bahagian Pematuhan Abdul Aziz Mat Noor berkata, sistem baharu itu dilihat sebagai jalan penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan ketirisan hasil selain ia akan membolehkan data terkini berkaitan maklumat perkapalan dan pengikraran dagangan import atau eksport dikongsi bersama melalui laman web servis.

“U-Costums akan menggantikan SKM yang telah digunakan 17 tahun dan sistem baharu ini merupakan sistem elektronik komprehensif dan mampan yang akan membantu proses pengauditan dan penarafan risiko barangan serta profil pengimport atau pengeksport di dalam sistem pengurusan risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi JKDM Lahad Datu di Dewan Sri Danum, di sini kelmarin.

Aziz berkata, JKDM juga telah melaksanakan transformasi pada Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan dengan memperkasakannya melalui penambahan bilangan pegawai dan penggunaan teknologi maklumat seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.

Katanya, JKDM juga sedang giat menjalankan Kempen ‘Jom Minta Resir GST’ yang bermula 1 April 2016 lalu dengan menawarkan lebih 2,500 hadiah lumayan yang boleh dimenangi setiap bulan.

Mengenai sasaran kutipan hasil di daerah ini, beliau mahu JKDM Lahad Datu mengekalkan momentum prestasi dan pencapaian kerja kakitangannya agar dapat mencapai sasaran RM202.9 juta sehingga Disember tahun ini.

Sehingga 9 Mei 2016, JKDM telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM94.8 juta dan yakin sasaran berupaya dicapai.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Kastam Lahad Datu Timothy Thaddeus Tinun, PKPK 1 Pertek yang juga bekas Ketua Kastam Lahad Datu Aspalila Awang Tuah, Ketua Kastam Tawau Datu Kassim Datu Bangsawan, dan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Sabah yang juga mantan Ketua Kastam Lahad Datu Saidin Jalauddin.

Majlis itu diadakan bagi menghargai jasa dan sumbangan pelanggan jabatan, media dan warga jabatan.

Advertisement