Anda di sini

Jangan viral maklumat sulit

Advertisement

 Zabidi menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota polis.

DIHARGAI: Zabidi menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota polis.

SANDAKAN: Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zabidi Md Zain menegaskan beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang terhadap anggota yang terlibat menyebarkan maklumat sulit kepada orang ramai.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pegawai, anggota dan pegawai awam agar lebih peka dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh soal keselamatan supaya tidak menyebarkan maklumat sulit kepada orang ramai.

Beliau berkata sejak akhir-akhir ini terdapat isu kebocoran maklumat rahsia sehingga menjadi viral di laman-laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

“Perkara seperti ini tidak harus berlaku. Ia kerana keadaan ini boleh menyebabkan orang ramai menjadi panik dan takut berikutan penyebaran maklumat berkenaan,” katanya ketika merasmikan perhimpunan bulanan IPD Sandakan di perkarangan IPD Sandakan, di sini kelmarin.

Zabidi menegaskan tugas dan tanggungjawab PDRM adalah memastikan keselamatan rakyat dan keamanan negara terpelihara serta kedaulatan negara tidak dapat digugat oleh mana-mana pihak.

Malah katanya, Akta Polis 1967 secara jelas menggariskan kewajipan PDRM iaitu memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan negara, mencegah dan mengesan penjenayah, menangkap dan mendakwa pesalah serta mengumpul risikan keselamatan.

“Justeru, saya berharap semua anggota dan pegawai dapat menjalankan tugas berpaksikan pada apa yang digariskan mengikut akta berkenaan,” katanya.

Zabidi berkata, masyarakat awam mempunyai harapan yang besar kepada PDRM untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Persepi masyarakat kepada pihak polis selaras dengan slogan PDRM yang ke-209 iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’. Oleh itu, semua pegawai kanan, anggota dan pegawai awam perlulah melaksanakan setiap tugasan yang diberikan dengan jayanya.

“Kita harus menegaskan konsep pencegahan dan pembanterasan jenayah yang bersifat holistik, ini kerana PDRM dalam transformasi dari sebuah pasukan keselamatan kepada sebuah perkhidmatan polis yang berorientasikan masyarakat,” katanya.

Tambahnya, ia jelas menunjukkan bahawa perkhidmatan polis tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada masyarakat.

Pada perhimpunan itu, seramai 17 pegawai dan anggota polis menerima sijil penghargaan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Daerah dan pengesahan jawatan.

 

 

Advertisement