Anda di sini

Langkah tangani insiden culik diambil demi keselamatan rakyat

Advertisement
 Linda menyampaikan cenderahati kepada Thien sambil diperhatikan pemimpin parti lain.

TERIMA KASIH: Linda menyampaikan cenderahati kepada Thien sambil diperhatikan pemimpin parti lain.

SANDAKAN: Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani insiden penculikan untuk tebusan di perairan pantai timur Sabah adalah untuk menjaga keselamatan rakyat jelata.

“Tindakan sedemikian perlu oleh kerana kes penculikan untuk tebusan sering berlaku di perairan Sandakan dan pantai timur Sabah secara amnya,” kata Ketua Bahagian PBS Elopura Datuk Linda Tsen Thau Lin ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan bahagian itu di sini kelmarin.

Beliau berkata langkah-langkah itu termasuk perintah berkurung dan baru-baru ini larangan tukar barang (barter trade) dengan negara jiran di pantai timur Sabah.

“Tindakan-tindakan ini mungkin menyusahkan sesetengah pihak, tetapi adalah perlu untuk menjaga keselamatan rakyat jelata,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Linda berkata satu masalah di kawasan Elopura yang telah mendapat perhatian orang ramai ialah kejadian tanah runtuh di lereng bukit di Taman Indah Jaya.

Katanya, dengan kerjasama daripada pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perhutanan Sabah, pelan penyelesaian telah ditemui dan kini menunggu peruntukan daripada kerajaan untuk melaksanakan pelan itu.

“Kita menghadapi banyak cabaran dan salah satu daripadanya ialah fenomena El Nino yang mengakibatkan kemarau panjang dan jerebu tahun lepas dan tahun ini. Dengan adanya hujan serta dengan langkah-langkah tebatan dan pencegahan yang telah diambil oleh kerajaan, kerosakan telah dapat diminimumkan,” katanya.

Katanya, satu lagi cabaran ialah kejatuhan harga minyak mentah dan komoditi lain.

Linda yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata, dengan pelaksanaan langkah-langkah berjimat cermat oleh kerajaan dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), impak negatif kejatuhan harga itu telah dapat dikurangkan.

“Kita juga sedar bahawa masalah kelembapan ekonomi turut melanda Sandakan. Di parlimen, saya telah meminta kerajaan persekutuan membantu mengatasi masalah ini dengan menjadikan Lapangan Terbang Sandakan sebagai satu hab untuk menarik lebih banyak penerbangan dan lebih ramai pelawat datang ke Sandakan.

“Dengan penambahan bilangan pelawat ke Sandakan, adalah diharapkan industri pelancongan dan kegiatan ekonomi boleh digalakkan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Thien Fui Yun yang Naib Presiden parti merangkap Ketua Bahagian Gum Gum, dalam ucapan perasmiannya berkata dalam tempoh 31 tahun sejak penubuhan parti, PBS mengamalkan sikap kerjasama dan toleransi antara semua kaum di negeri Sabah.

“Kita sedar bahawa perpaduan merupakan perkara yang amat mustahak untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian rakyat di Sabah, khususnya negara Malaysia. Negara yang aman dan damai dapat manjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Lebih 300 ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Elopura menghadiri mesyuarat agung tahunan yang diadakan di sebuah restoran terkemuka di sini kelmarin.

Turut hadir ialah Pengerusi Tetap Mesyuarat merangkap Ahli Majlis Tertinggi PBS Chin Tek Ming, AMT Chin Tzu Min, Ketua Bahagian Karamunting Kong Nyuk Thou dan barisan AJK Bahagian serta ahli parti.

Advertisement