Anda di sini

Mayat lelaki ditemui dalam semak di tepi jalan

Advertisement

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang sudah meninggal selama beberapa hari ditemui dalam keadaan terlentang di dalam semak kira-kira 10 meter dari Jalan Timbang Dayang, di sini kira-kira jam 3.15 petang Khamis lalu.

Mangsa dikenali sebagai Maduin Madikin, 64, berasal dari Kampung Darau Manggatal dan ditemui orang awam dalam keadaan berpakaian lengkap.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintenden Mohd Zaidi Abdullah berkata, selepas dibedah siasat, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat menghidapi masalah kesihatan dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada mayat mangsa.

“Siasatan awal mendapati, mangsa keluar dari rumahnya di Kampung Darau, Manggatal pada 2 Mei lalu untuk berjumpa dengan rakan-rakannya dan tidak pulang ke rumah selepas itu.

“Selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah, pada 4 Mei lalu anak mangsa bertindak membuat laporan polis mengatakan mangsa keluar dari rumah menaiki sebuah kereta jenis Proton Aeroback kira-kira jam 4.30 petang.

“Pada 3 Mei lalu, sebelum anak mangsa membuat laporan polis, kereta mangsa ditemui tersadai di Jalan Kampung Timbang Dayang sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud kerana menghalang lalu lintas,” katanya kelmarin sambil menambah lokasi kereta dijumpai adalah kira-kira 100 meter dari lokasi penemuan mayat mangsa.

Beliau berkata, tidak ada sesiapa yang menuntut kereta terbabit sehinggalah mangsa ditemui dalam keadaan sudah meninggal dunia di kira-kira 10 meter dari Jalan Timbang Dayang, di sini kira-kira jam 3.15 petang pada Khamis lalu.

Fuad berkata, pihaknya percaya mangsa meninggalkan keretanya selepas gagal membuat pusingan ‘U’ di jalan terbabit dan bertindak meminta pertolongan orang awam, bagaimanapun mangsa dipercayai meninggal dunia akibat masalah kesihatan semasa berjalan keluar dari keretanya.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan bermula jam 2.30 sehingga 5.15 petang pada Jumaat lalu mendapati pihak hospital tidak menemui sebarang salah laku jenayah pada mayat mangsa.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut (SDR) dan bukan membabitkan kes bunuh,” katanya sambil menambah mayat mangsa kemudiannya dituntut oleh ahli keluarganya untuk tindakan selanjutnya.

Advertisement