Anda di sini

Jangan buat kenyataan yang beri impak negatif kepada pelancongan: Masidi

Advertisement

KOTA KINABALU:  Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menasihatkan pihak yang berada dalam industri pelancongan agar tidak membuat sebarang kenyataan yang akan memberi impak negatif terhadap industri.

Beliau berkata demikian apabila mendapati pelbagai kenyataan dikeluarkan berikutan insiden kehilangan bot yang membawa empat penumpang termasuk tiga pelancong asing di Pulau Balambangan menuju ke Tanjung Simpang Mengayau, pada Isnin.

Katanya, setiap insiden yang berlaku dalam industri perlu ditangani secara baik dan bukan dengan mengeluarkan kenyataan yang akan merugikan industri secara keseluruhannya.

“Tutup mulut kamu sekiranya kamu tidak mengatakan sesuatu yang baik. Sekiranya kenyataan kamu menyumbang kepada kemasukan pelancong ke Sabah maka, kamu boleh membuat kenyataan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Matta Fair 2016 anjuran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), di Kompleks Beli-belah Suria Sabah, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, dalam berhadapan sebarang situasi, pihak yang berada dalam industri pelancongan tidak seharusnya panik dan emosi.

Mereka seharusnya melaksanakan tugasan harian seperti biasa.

Apabila berlaku sesuatu insiden tidak diingini pihak dalam industri selalunya tampil memberi kenyataan namun, ada kalanya kenyataan itu akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Atas sebab itu, jangan terlalu emosi dengan isu yang dibangkitkan dari masa ke masa,” jelasnya.

Masidi berkata, pihak dalam industri pelancongan perlu bertenang.

“Jika kamu memegang jawatan tinggi dalam industri, kenyataan kamu akan dianalisis. Oleh itu, sekiranya kamu memberi ‘highlight’ kepada kes pelancong yang hilang, kamu akan melihat berlaku pembatalan tempahan.

“Oleh itu, pihak dalam industri perlu menangani permasalahan ini sebaik mungkin. Maka, apa saja insiden yang berlaku, kita patut melaksanakan tugas seperti biasa.

“Biarkan pihak berkaitan (pasukan keselamatan) melakukan tugas mereka. Untuk kita yang berada dalam industri ini, jangan menyimbahkan minyak atas api hingga menakutkan orang ramai,” jelasnya.

Masidi berkata, walaupun berlaku insiden tidak diingini di Pantai Timur Sabah, pihak yang berada dalam industri pelancongan tidak seharusnya panik kerana ini akan memberi impak besar kepada kemasukan pelancong ke negeri ini.

Beliau juga meminta pihak dalam industri supaya berhenti memberitahu pasukan keselamatan apa yang mereka perlu lakukan.

“Masalah kita adalah kita merasa kita jauh lebih baik daripada mereka,” katanya.

Mengenai kemasukan pelancong ke Sabah, Masidi berkata, pasaran China semakin meningkat dan ini terbukti dengan peningkatan kemasukan pelancong China di Sabah pada Januari-Februari tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Untuk Februari sahaja, terdapat 54 penerbangan dari China. Malah, pelancong dari Eropah juga mula datang ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata, antara penyumbang kepada keyakinan semula pelancong adalah disebabkan industri tidak panik. Faktor lain adalah seperti perkembangan situasi keseluruhan di Sabah yang semakin baik.

Katanya, setiap negara di dunia ini mempunyai masalah mereka tersendiri namun, apa yang penting adalah jangan panik.

Namun, terdapat sebilangan orang yang mempunyai kecenderungan membincangkan masalah yang berlaku dalam media sosial dan ia bukan hanya untuk tempoh sehari tetapi untuk berulang kali.

Masidi berkata, memandangkan industri pelancongan satu-satunya industri yang dilaksanakan seluruhnya oleh orang Sabah maka, beliau tidak mahu melihat mereka yang berada dalam industri ini merosakkan pasaran kerana ia akan menyebabkan ramai orang terjejas.

Sementara itu, menyentuh mengenai penganjuran ‘MATTA Fair’, Pengerusi MATTA cawangan Sabah, Robert Chong berkata, mereka mensasarkan jualan antara RM5 juta hingga RM8 juta sepanjang MATTA Fair itu berlangsung.

“Kami berjaya memperoleh jualan yang sama pada tahun lepas. Berikutan keadaan ekonomi semasa kami berharap dapat mengekalkan jumlah jualan yang sama seperti tahun lepas,” katanya.

Sebanyak 97 gerai pameran dengan penglibatan 48 peserta mengambil bahagian dalam MATTA Fair 2016 ini. Manakala, pada tahun lepas, sebanyak 114 gerai pameran dengan seramai 42 peserta pameran mengambil bahagian.

Advertisement