Anda di sini

Polis sahkan kematian PU Zaid tiada unsur jenayah

Advertisement

TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus mengesahkan kematian PU Zaid yang terkenal dalam program realiti televisyen sebagai tiada melibatkan unsur jenayah.

Utusan Borneo difahamkan, setakat ini tidak ada sebarang siasatan dibuka berhubung kematian pendakwah bebas terkenal itu yang berasal dari Kampung Tanjung Batu, di sini.

Fadil berkata PU Zaid ataupun Abdul Zaid Abdul, 31, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi di Hospital Tawau selepas dibawa oleh keluarganya dari rumah.

“Sepupu arwah, 42, yang tampil membuat laporan polis memberitahu bahawa arwah sesak nafas dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun, doktor yang bertugas iaitu Dr Nur Iryami mengesahkan arwah sudah meninggal dunia kerana ‘immediate effect’,” katanya ketika dihubungi di sini.

Fadil berkata, laporan polis dibuat oleh sepupu arwah sebagai rujukan pihak hospital untuk menuntut jenazah dan membuat sijil kematian di Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam perkembangan berkaitan, warga netizen merakamkan ucapan takziah menerusi aplikasi media sosial atas pemergian PU Zaid yang mengejutkan ramai pihak.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat merangkap Wakil Rakyat Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat turut berkesempatan melawat keluarga PU Zaid.

Untuk rekod, arwah yang berasal dari Tawau sebelum ini dikenali ramai berikutan penyertaannya dalam program Pencetus Ummah dan memenangi tempat ketiga.

 

 

Advertisement