Anda di sini

Pastikan pelancong selamat

Advertisement

BEAUFORT: Setiap bot pelancong di negeri ini perlu mempunyai permit sah daripada Jabatan Laut Sabah (JLS) terutama yang menawarkan perkhidmatan pelancongan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi berkata, ia penting kerana kelulusan permit hanya akan diberikan kepada bot terlibat setelah memenuhi ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan oleh JLS.

Katanya, peraturan itu merupakan salah satu syarat utama yang perlu dipenuhi bagi memastikan keselamatan pelancong terjamin khususnya ketika berada di laut terbuka.

“Jika syarat ini tidak dipenuhi, kementerian kami tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang insiden kerana secara jelas pengusaha pelancongan terlibat enggan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Pihak kami memandang serius perkara ini kerana keselamatan pelancong merupakan keutamaan kementerian dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha yang ingkar terhadap peraturan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Integrasi Komuniti Sempena Pesta Kaamatan 2016 anjuran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Dewan Pa Musa Beaufort, malam kelmarin.

Kamarlin turut menegaskan bahawa setiap pemandu bot pelancong wajib mempunyai lesen pengendalian bot daripada JLS termasuk mahir dalam aspek navigasi kompas dan selok-belok di laut terbuka.

Beliau berkata kemahiran itu merupakan antara kriteria diperlukan pengusaha pelancongan sebelum mengambil mana-mana individu sebagai pekerja bagi memastikan keselamatan pelancong terjamin.

“Kita tidak mahu berlaku insiden bot sesat atau hanyut ekoran pemandu bot yang tidak terlatih kerana angin kencang dan ombak besar mampu berlaku secara tiba-tiba di laut hingga menyukarkan pemandu bot berpengalaman sekalipun.

“Bukan itu saja, mereka juga perlu memiliki kemahiran menyelamat sebagai asas penting jika berlaku sebarang situasi cemas terhadap pelancong di bawah jagaan mereka khususnya semasa melakukan aktiviti marin,” katanya.

Terdahulu, Kamarlin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 80 warga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari Semenanjung, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dan Sarawak yang menyertai program terbabit.

 

Advertisement