KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, didakwa atas dua pertuduhan merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap anak kandungnya.
Tertuduh yang berusia 42 tahun, dituduh merogol mangsa berusia 13 tahun, pada sekitar bulan Februari tahun ini di sebuah taman perumahan, Manggatal, di sini.
Sekali lagi tertuduh melakukan kesalahan sama, pada sekitar Disember tahun lalu di tempat sama.
Dua pertuduhan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun, serta tidak kurang sepuluh sebatan.
Sekitar November tahun lalu di tempat sama, tertuduh didakwa merangsang mangsa melakukan kelucahan melampau dengannya.
Sekiranya disabitkan mengikut Seksyen 337E Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tempoh lima tahun dan dikenakan sebat.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan pada 13 Jun tahun ini sebagai pengurusan kes terhadap tertuduh, selepas mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Hanifah Zahidah Abdul membantah tertuduh diberikan jaminan kerana keseriusan kesalahan, serta melibatkan seorang ayah dan anak perempuannya.
Peguam Alex Lee memohon anak guamnya yang bekerja sebagai penyelenggara di sebuah pusat beli-belah, dibenarkan ikat jamin.
Hal ini kerana, tertuduh merupakan sumber ekonomi keluarganya dan mempunyai empat anak yang perlu ditanggung.
Bagaimanapun, Ainul memerintahkan tertuduh terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah, sehingga kes berkenaan selesai.
Dalam kes berasingan, mahkamah menetapkan pada 21 hingga 23 September depan sebagai tarikh perbicaraan terhadap seorang lelaki tempatan yang didakwa cuba merogol seorang wanita.
Keputusan itu dilakukan terhadap Sapirin Ahmat, 41, yang didakwa cuba merogol mangsa yang berusia 21 tahun pada waktu kejadian.
Kesalahan itu dilakukan pada 18 Mac 2009 antara jam 12.40 tengah hari hingga jam 2.30 petang, dekat pendaratan helikopter, Fairy Garden Kundasang, Ranau.
Sekiranya disabitkan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, memperuntukkan penjara sehingga tempoh sepuluh tahun serta sebatan.
Sapirin didakwa pada 16 Mac tahun ini dan mengaku tidak bersalah.
Sementara menunggu kes berkenaan selesai, tertuduh diberikan ikat jamin sebanyak RM10,000 yang dicagarkan dua penjamin tempatan.