Anda di sini

92 ‘bagang’ tidak berlesen dimusnahkan

Advertisement

 Sebanyak 92 ‘bagang’ di perairan Kalumpang dimusnahkan dalam Ops Bersepadu Khas ESSCom.

TIADA LESEN: Sebanyak 92 ‘bagang’ di perairan Kalumpang dimusnahkan dalam Ops Bersepadu Khas ESSCom.

TAWAU: Sebanyak 92 ‘bagang’ tidak berlesen dimusnahkan dalam Ops Bersepadu Khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di perairan Kalumpang, kira-kira 30 batu nautika dari sini.

Ketua Staf Bahagian Penguatkuasaan Maritim ESSCom Laksamana (M) Karunanithi Munusamy berkata, operasi itu dijalankan bermula dari jam 7 pagi sehingga 3 petang.

“Operasi ini memberikan tumpuan terhadap bagang-bagang yang didirikan secara haram dan beroperasi di luar kawasan zon yang dibenarkan,” katanya di sini kelmarin.

Karunanithi berkata, pihaknya menjalankan operasi mengesan bagang-bagang terbabit selaras dengan syarat-syarat lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan.

Menurutnya, operasi itu juga bertujuan mendidik dan mentertibkan masyarakat maritim yang terlibat dalam aktiviti di laut termasuk pengusaha bagang.

“Operasi ini disertai oleh 12 agensi penguat kuasa dan keselamatan melibatkan 97 anggota menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS),” katanya.

Antaranya, ESSCom, Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Laut, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Karunanithi berkata, dalam operasi terbabit pihaknya turut mengesan sebahagian bagang yang menggaji pekerja dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kemungkinan bagang ini turut dijadikan sebagai ‘staging point’ untuk penjenayah melakukan jenayah di laut seperti rompakan dan penyeludupan barang-barang terlarang.

“Operasi ini sebahagian inisiatif kita untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada unsur-unsur jenayah dan mendidik mereka mematuhi peraturan dan syarat-syarat lesen.

“Operasi seumpama ini akan diperluaskan ke daerah lain di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) termasuk di Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Pitas,” katanya.

 

Advertisement