Anda di sini

Gerakan menjatuhkan PM tidak akan berhenti

Advertisement

Kumpulan penentang akan terus bangkitkan rasa marah

SANDAKAN: Kumpulan penentang dalam UMNO dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri tidak akan berhenti selagi Najib tidak tersingkir daripada jawatan pemimpin nombor negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Bung Moktar Radin berkata penentang Najib akan meneruskan gerakan kempen mereka untuk menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri.

“Kumpulan penentang ini akan terus membangkitkan perasaan marah rakyat terutamanya kepada ahli UMNO dengan membawa isu yang telah diperjelaskan oleh pihak berwajib, termasuklah isu 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion.

“Sebenarnya, kedua-dua isu itu telah dijelaskan banyak kali tetapi mereka sengaja menyangkal kenyataan daripada pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata, mereka telah memprogramkan fikiran dengan menyatakan mereka sahaja yang benar dan semua yang lain adalah salah.

Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan meminta pemimpin di peringkat bahagian dan ahli UMNO supaya tidak mudah terperdaya dengan pihak kumpulan penentang UMNO dan juga pembangkang yang memainkan isu berkenaan.

“Kita dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu merapatkan barisan dan jalinan kerjasama agar parti BN terus kukuh,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mahu semua pemimpin UMNO dan BN melaksanakan tanggungjawab dalam membantu rakyat dan terus bekerja demi kepentingan parti dan rakyat.

Bung yang juga pengerusi penyelaras BN Parlimen Kinabatangan berkata BN akan terus berusaha membawa pembangunan demi kepentingan rakyat.

“Sudah banyak projek pembangunan dibawa oleh kerajaan BN terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata rakyat dahulunya tidak mempunyai jaringan jalan raya yang baik tetapi hari ini memiliki jalan raya berturap sebagai penghubung utama.

“Pelbagai lagi projek dibawa seperti membina dewan, rumah ibadat, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Rakyat (PPR), bekalan elektrik luar bandar, bekalan air bersih, dan sebagainya.

“Bukan sahaja projek pembangunan, tetapi pelbagai bantuan disalurkan untuk rakyat berpendapatan rendah. Ini adalah bukti kerajaan tidak mengabaikan rakyat di negeri ini,” katanya.

Advertisement