Anda di sini

Pendakwah mesti ada ilmu dan kemahiran

Advertisement
 Azizah (dua kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta.

BERILMU: Azizah (dua kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta.

KOTA KINABALU: Cabaran seseorang yang ingin menjadi pendakwah ialah ilmu dan kemahiran, semangat tanpa ilmu serta kemahiran boleh membantutkan niat untuk menjadi pendakwah.

Dari itu setiap pendakwah hendaklah mempunyai ilmu dan kemahiran yang berkaitan dengan isu-isu yang realistik dan strategik demi memperkasa gerak kerja dakwah yang berkesan.

Demikian menurut Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Mohd.Dun ketika berucap pada Program Pendakwah Muda Wanita USIA Sabah.

Program itu anjuran Wanita USIA dengan kerjasama USIA Pusat pada Jumaat, di Pusat Pentadbiran USIA, Dewan Utama, Level 4, Tower D, 1Borneo, Off Jalan Sulaman, di sini.

Katanya, tidak ada kerja dakwah yang mudah namun tidak bermakna kerja sebagai pendakwah mesti dilakukan dengan penuh kekurangan dan tidak kesempurnaan.

Menurut Azizah, sebelum berdakwah mereka mestilah mengenal pasti kekangan dan hambatan isu-isu yang yang akan dihadapi dan perlu ditangani.

Para pendakwah mestilah menjadi contoh, ikutan yang baik daripada segi akhlak dan personaliti bahkan juga seluruh ahli keluarga kerana mereka adalah sasaran dakwah yang pertama.

“Maka kita manfaatkan masa dan kekuatan untuk mendidik masyarakat terutama generasi muda agar cenderung memilih kebaikan dan membenci kemungkaran,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat menjelaskan, mendidik generasi muda adalah lebih strategik dan berkesan daripada segi jangka masa panjang bahkan boleh dianggap sebagai langkah pemuliharaan yang efektif.

Katanya, cabaran dan isu yang pelbagai menuntut para pendakwah untuk mempunyai persediaan ilmu dan kemahiran yang berkaitan dengan isu-isu yang realistik dan strategik demi memperkasakan gerak kerja dakwah masa kini.

Jelasnya, pendakwah juga seharusnya mengambil kesempatan menggunakan peluang berdakwah di hujung jari melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Instgram dan lain-lain.

“Sebahagian daripada kita adalah pengguna setia laman sosial dan sejauh manakah kita merebut peluang untuk berdakwah melaluinya,” katanya.

Lebih 200 peserta menyertai program itu terdiri daripada penuntut-penuntut SMA Toh Puan Rahmah, SMA Papar, Politeknik Kota Kinabalu, Kolej Yayasan Sabah, UiTM Kampus Sabah, Kolej Kediaman Usia-UMS, Yadim Sabah, JAKIM Sabah dan JHEAINS.

Turut bersama pada majlis penutupan ialah Setiausaha Agung USIA Datuk Hamzah Datuk Mohd. Zakaria dan Setiausaha Wanita USIA Rubiah Nordin.

 

Advertisement