Anda di sini

Guru Sabah perlu pembelaan

Advertisement

 Jake menyerahkan sumbangan kepada Betty (tiga kanan) disaksikan oleh Banting (dua kanan).

BANTUAN: Jake menyerahkan sumbangan kepada Betty (tiga kanan) disaksikan oleh Banting (dua kanan).

KENINGAU: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Sabah, Datuk Jake Jikulin Nointin berkata, guru dari Sabah sama ada yang bertugas di negeri ini atau Semenanjung mesti diberikan pembelaan yang sewajarnya.

Katanya, isu Elaun Perumahan Wilayah (EPW) telah lama disuarakan dalam kalangan guru-guru dari Sabah dan sudah tiba masanya kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji, menyemak semula dan menyelaraskan elaun yang lebih adil dan saksama.

“Kos sara hidup tidak banyak perbezaan antara Semenanjung dan Sabah, terutamanya di pekan-pekan utama dan kawasan bandar,” katanya kepada Utusan Borneo selepas menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Menengah St. Francis Xavier di sini pada Jumaat.

Jake, yang juga Ketua Bahagian PBS Liawan berkata, peningkatan kos sara hidup di kebanyakan pekan-pekan dan bandar-bandar di Sabah tidak jauh bezanya dengan kawasan yang sama di Semenanjung.

Beliau berkata, semakan dan pelarasan Imbuhan Elaun Perumahan (ITP) untuk guru-guru di Sabah perlu dilaksanakan untuk meringankan beban kewangan guru disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup

Menurut beliau, kerajaan dan KPM perlu mengkaji semula, menyemak dasar ini dan diperkemas untuk mengurangkan beban guru untuk kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

“Begitu juga, guru-guru yang bertugas di Sabah sebagai contoh, kadar Elaun Perumahan Wilayah (EPW) yang mereka terima lebih rendah berbanding guru Semenanjung yang bertugas di Sabah.

“Kami berharap kerajaan akan memberi perhatian kepada perkara ini. Ia bukan sahaja membantu guru-guru untuk meringankan beban kewangan mereka tetapi pada masa yang sama akan meningkatkan motivasi dan produktiviti mereka,” katanya.

Bagi beliau, penyeragaman semua elaun untuk guru-guru di Sabah dan Semenanjung hendaklah berdasarkan semangat 1Malaysia dengan mengguna pakai dan menekankan guru-guru yang berkhidmat di negara ini adalah sebagai Guru Malaysia.

Jake yakin, melalui penekanan Guru Malaysia, sudah tentu, pemberian elaun dan lain-lain kemudahan kepada guru yang bekerja sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung hendaklah diselaraskan dengan adil dan saksama.

Pada masa sama, Jake menyifatkan pelantikan Maimunah Suhaibul sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang baharu adalah tepat.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Maimunah, beliau berharap agar pengarah yang baharu dapat merealisasikan infrastruktur yang masih daif terhadap sekolah-sekolah bagi keselesaan kepada para pelajar dan guru-guru.

“Saya percaya usaha ini dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak termasuk pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru-guru dan ibu bapa untuk kecemerlangan pelajar-pelajar yang masih ketinggalan dalam menikmati prasarana pembelajaran yang kondusif dan selesa,” katanya.

Pada perkembangan lain, beliau juga meminta agar KPM memandang serius mengenai kekurangan guru di negeri ini dengan memberikan peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlayakan untuk memohon sebagai guru.

Beliau berkata, ramai lepasan SPM yang memang memenuhi kelayakan yang diperlukan tidak diberikan peluang walaupun ada membuat permohonan untuk memasuki ke Institut Pendidikan Guru.

“Saya memohon agar pihak KPM dapat mempertimbangkan lepasan SPM yang memiliki kelayakan dan memenuhi syarat-syarat yang diperlukan agar diterima sebagai menampung kekurangan guru yang berlaku di beberapa sekolah di kawasan pedalaman,” katanya.

Pada majlis yang ringkas itu, Jake menyerahkan sumbangan bantuan itu kepada pengetua sekolah berkenaan Betty Leong yang turut disaksikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu Banting Yukang.

Terdahulu, Jake bersama-sama dengan rombongannya dengan diiringi oleh Betty dan Banting telah melawat blok bangunan baharu yang telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Exco Pendidikan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

 

Advertisement