Anda di sini

Kes tibi di Sabah membimbangkan

Advertisement

 Madius (tengah) memotong reben tanda simbolik perasmian Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2016 di Dewan Dewan Tun Hamdan.

MEMBIMBANGKAN: Madius (tengah) memotong reben tanda simbolik perasmian Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2016 di Dewan Dewan Tun Hamdan.

TAMPARULI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 9.6 juta kes tibi di seluruh dunia berbanding hanya 6 juta kes yang dilaporkan pada tahun 2014, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau.

Beliau berkata di Malaysia, jumlah kes tibi yang dilaporkan sepanjang tahun 2015 adalah 24,220 kes iaitu penurunan sebanyak 2 peratus berbanding 24,711 kes pada tahun 2014.

“Jumlah kematian tibi pula didapati telah meningkat sebanyak 5.8 peratus iaitu daripada 1,603 kematian pada tahun 2014 kepada 1,696 kematian bagi tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2016, di Dewan Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.

Madius berkata bilangan kes tibi yang dilaporkan di negeri Sabah pada tahun 2015 adalah 4,464 kes, iaitu penurunan sebanyak 6 peratus berbanding 4,747 kes yang dilaporkan 2014.

Katanya, jumlah kematian tibi pula pada tahun 2015 adalah 302, di mana terdapat peningkatan sebanyak 2.4 peratus daripada 295 kematian pada tahun 2014.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit tibi khususnya dan masyarakat amnya.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata pada 2015, sejumlah sepuluh mesin gene X-pert yang berupaya mengesan kes-kes ‘Drug-Resistant Tibi’ dalam tempoh lebih cepat telah dibekalkan ke hospital-hospital terpilih di seluruh negara.

“Sebenarnya, sistem kemudahan kesihatan di Malaysia adalah dianggap antara yang mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik di rantau ini,” katanya.

Katanya, bagi kawasan yang terpencil atau mempunyai sistem pengangkutan yang kurang baik, anggota kesihatan telah diamanahkan untuk mengadakan lawatan perubatan ke kawasan mereka.

“Sebahagian besar klinik kerajaan telah dilengkapkan dengan kemudahan mikroskop untuk mendiagnos penyakit tibi,” katanya.

Malahan katanya, dalam ucapan wakil Pengarah Kesihatan Negeri Sabah ada menyebut berkaitan pengwujudkan bas ‘Mobile X-Ray.

“Ini menujukkan kerajaan kita sentiasa membuat penambahbaikan terhadap perkhidmatan kesihatan, sekali gus langkah ini akan berupaya menaiktaraf kualiti kesihatan rakyat di negeri Sabah khususnya dalam usaha kita mencegah penularan penyakit tibi,” katanya.

Madius berkata bagi mengawal penularan penyakit tibi, adalah penting bagi pesakit mengambil ubatan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Secara umum, katanya, pesakit tibi perlu mengambil ubat setiap hari selama sekurang-kurangnya enam bulan. Pada tahun 2015 di seluruh Malaysia, didapati kadar sukses tibi adalah 78 peratus iaitu sejumlah 16,493 pesakit telah berjaya sembuh dan menyempurnakan rawatan tibi.

Namun begitu, katanya masih terdapat 1,256 pesakit yang telah terhenti rawatan. Pesakit yang tidak menamatkan rawatan ini berpotensi menyebarkan kuman tibi kepada masyarakat.

Oleh itu, katanya, ahli keluarga pesakit dan komuniti setempat berperanan sangat penting dalam memberi sokongan moral dan semangat supaya pesakit berjaya menamatkan rawatan sehingga sembuh.

“Ini bermakna, tanggungjawab mengesan dan merawat penyakit tibi bukanlah terletak di bahu Kementerian Kesihatan sahaja.

“Agensi kerajaan yang lain termasuklah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengajian Tinggi dan Pendidikan, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan tempatan dan masyarakat setempat adalah berperanan penting dalam memberikan kesedaran dan kefahaman masyarakat akan bahaya penyakit tibi jika tidak dirawat,” katanya.

Katanya, dengan adanya kerjasama yang erat di antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan agensi berkaitan, ia diharap dapat meningkatkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkukuhkan aktiviti bagi mengesan, merawat dan mencegah penularan jangkitan penyakit tibi di Malaysia.

“Ia adalah langkah penting dalam merealisasikan harapan kita semua dan seiring dengan aspirasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia melalui ‘End TB Strategy’ iaitu menamatkan epidemik tibi menjelang tahun 2035.

“Saya menggesa agar kita sama-sama berganding bahu untuk mengatasi masalah penularan penyakit tibi dengan cara menyebarkan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

“Paling penting, jika mengalami tanda-tanda tibi, segera dapatkan pemeriksaan di Klinik Kesihatan atau hospital yang berdekatan,” katanya.

 

Advertisement