Anda di sini

APMM berkas juragan bersama enam penumpang

Advertisement
 APMM Tawau menahan jongkong, juragan dan enam penumpang yang disyaki cuba meninggalkan negara ini tanpa mengikut pintu keluar rasmi.

DITAHAN: APMM Tawau menahan jongkong, juragan dan enam penumpang yang disyaki cuba meninggalkan negara ini tanpa mengikut pintu keluar rasmi.

TAWAU: Cubaan seorang juragan membawa enam penumpangnya ke negara jiran tanpa melalui pintu keluar rasmi gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau, Selasa lalu.

Pengarah Maritim Daerah Tawau Kepten (M) Anor Jaafar berkata kesemua tahanan berusia antara 49 sehingga 70 tahun itu diberkas bersama jongkong yang mereka naiki.

“Kita menahan mereka di perairan Sungai Melayu Pulau Sebatik dan kita percaya mereka dalam perjalanan ke Sungai Pancang, Pulau Sebatik Indonesia,” katanya.

Katanya, penahanan itu dibuat kira-kira jam 9.45 pagi selepas pasukannya mengesan kehadiran jongkong mencurigakan terbabit semasa mengadakan rondaan.

Anor berkata selain juragan, pihaknya menahan dua lelaki dan empat wanita melibatkan tiga warga tempatan dan tiga warga asing.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, mereka dikesan gagal menunjukkan pasport yang mempunyai cop pengesahan daripada Jabatan Imigresen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya membawa jongkong, juragan dan enam penumpangnya ke Jeti APMM Tawau mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berharap semua pihak bekerjasama menyalurkan maklumat penting berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang kepada APMM.

“Hubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi DM18 di talian 089-750116 khususnya aktiviti yang mencurigakan di kawasan perairan negara,” katanya.

 

 

Advertisement