Anda di sini

Pengusaha tempatan disaran pasar produk secara ‘online’

Advertisement

Potensi sangat baik kerana kos rendah tetapi pasaran luas

 Yahya melawat pameran buah-buahan tempatan dan produk asas tani selepas merasmikan kursus keusahawanan di Putatan.

PASARAN LUAS: Yahya melawat pameran buah-buahan tempatan dan produk asas tani selepas merasmikan kursus keusahawanan di Putatan.

PUTATAN: Usahawan tani, penternak dan nelayan di negeri ini disaran supaya menggunakan Agrobazar Online bagi memasarkan produk masing-masing selaras perkembangan teknologi dengan menggunakan ‘online’ sebagai platform pemasaran produk.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, dengan kemudahan online yang disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu, pengusaha tempatan perlu memanfaatkan platform bagi meningkatkan pendapatan masing-masing.

Katanya, dengan pelancaran Agrobazar Online di negeri ini, ia diharap dapat digunakan sebaik mungkin kerana Sabah memang agak ketinggalan sedikit dalam pemasaran produk secara online berbanding negeri lain di Semenanjung.

Beliau berkata, jika ingin produk yang dipasarkan lebih menyerlah, pembungkusan dan penceritaan sesuatu produk online perlu dibuat dengan baik bagi menarik perhatian pelanggan.

Katanya, usaha memperkenalkan Agrobazar Online yang dilancarkan sejak 2014 itu diambil Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bagi membantu usahawan, petani, penternak dan nelayan dalam usaha memperluaskan pasaran perniagaan produk pertanian secara global dan berteknologi.

Ia dilakukan seiring dengan perkembangan pesat teknologi yang mana, pembelian secara atas talian semakin mendapat perhatian masyarakat.

“Agrobazar.com yang dibangunkan kerajaan ini adalah medium baharu memasarkan produk dengan komuniti agro makanan atas talian pertama di Malaysia. Ia merangkumi produk pertanian, produk kecantikan dan sebagainya.

“Dengan adanya 61 peratus pengguna Internet di Malaysia, ia memperlihatkan bahawa perniagaan secara online ini mempunyai potensi yang amat baik,” katanya ketika berucap merasmikan kursus keusahawanan pemasaran agro makanan secara online di sini kelmarin.

Yahya berkata, perniagaan online lebih menarik kerana ia melibatkan kos yang rendah dengan pasaran yang luas dan peniaga juga boleh melakukan perniagaan secara sendiri atau separuh masa dari rumah.

Dengan adanya 10 syarikat dan agensi yang bekerjasama dalam pengurusan Agrobazar Online itu, ia dilihat akan mempermudahkan lagi proses pelaksanaan pemasaran secara online itu.

Pada masa sama, Yahya juga menyarankan jabatan dan agensi di bawah kementeriannya dan MOA agar bersama-sama membantu petani, peladang, penternak dan nelayan dalam memasarkan produk keluaran mereka ke pasaran tempatan dan juga luar negeri.

“Dengan adanya Agrobazar ini, peluang perniagaan pengusaha tempatan dilihat akan lebih berkembang dan meningkat ke peringkat lebih tinggi sekali gus mampu meningkatkan ekonomi keluarga mereka,” katanya.

Advertisement