Anda di sini

KPWKM akan bincang dengan PBT bantu wanita berniaga atas talian

Advertisement

BEAUFORT: Satu perbincangan bakal diadakan di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini sebagai usaha membantu golongan wanita yang terlibat dalam perniagaan atas talian.

Timbalan Menteri Datuk Azizah Mohd Dun berkata ia perlu memandangkan sebahagian besar golongan terbabit tidak mempunyai akses untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada PBT ekoran status perniagaan mereka.

Berikutan itu, golongan wanita yang bekerja dari rumah melalui perniagaan atas talian tidak dapat membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Justeru, pihak kita akan berbincang dengan semua PBT untuk mencari jalan penyelesaian berhubung situasi ini, khususnya mereka yang terlibat dalam perniagaan atas talian sebagai satu industri baru yang lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran Program Jelajah Kasih Ahli Parlimen Beaufort yang diadakan di Kampung Klias Baru, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman mikro menerusi beberapa agensi bagi membantu golongan wanita yang ingin memulakan perniagaan.

Katanya, antara insiatif itu termasuk mewujudkan Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Yayasan Usaha Maju Sabah (YUM) yang sehingga kini telah banyak membantu golongan itu khususnya yang berada di kawasan luar bandar.

“Inisiatif kerajaan ini bertujuan membantu mereka yang tidak mempunyai alamat premis perniagaan yang merupakan antara kriteria diperlukan jika mahu membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

“Agensi-agensi ini (Tekun, AIM dan YUM) juga mempunyai pelbagai skim pinjaman untuk golongan yang mahu memulakan perniagaan, malah difahamkan pembiayaan besar turut disediakan bagi perniagaan yang berpotensi.

“Sebagai contoh, wanita yang menyertai kursus mengurut di bawah program MamaCare yang diwujudkan kementerian ini berpeluang menjana pendapatan menerusi pinjaman AIM jika mahu menceburi perniagaan khususnya dalam bidang urutan wanita lepas bersalin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa golongan wanita yang berkeinginan untuk memulakan perniagaan supaya tidak melepaskan peluang disediakan kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap kepentingan golongan itu.

 

 

Advertisement