Anda di sini

Satu lagi Pusat Maklumat Pemakanan beroperasi di Sabah

Advertisement
 Christina (tiga kiri) merasmikan sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2016 peringkat negeri Sabah.

PUSAT BAHARU: Christina (tiga kiri) merasmikan sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2016 peringkat negeri Sabah.

PENAMPANG: Sebuah lagi Pusat Maklumat Pemakanan beroperasi di Klinik Kesihatan Penampang yang bertujuan menyediakan kemudahan pendidikan mengenai pemakanan sihat yang tepat dan terkini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Christina Rundi berkata, penambahan itu menjadikan Sabah kini mempunyai dua buah Pusat Maklumat Pemakanan yang beroperasi.

“Pelbagai aktiviti asas disediakan di pusat ini, seperti pameran pemakanan, saringan kesihatan dan status berat badan, demonstrasi memasak, edaran risalah pendidikan dan permainan interaktif pemakanan.

“Selain itu, pelbagai aktiviti semasa yang menarik disediakan seperti cara membuat roti yang lebih sihat, penyediaan menu masakan untuk kanak-kanak yang kurang selera makan dan menu masakan bagi mengurangkan berat badan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Maklumat Pemakanan itu, di sini kelmarin.

Katanya sebelum itu, sebuah lagi Pusat Maklumat Pemakanan telah diwujudkan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Keningau.

Beliau berharap masyarakat dapat memanfaatkan pusat berkenaan untuk mendapatkan pengetahuan tentang pemakanan yang lebih sihat.

Pada majlis yang sama, Christina turut merasmikan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2016 peringkat negeri.

Katanya, orang ramai perlu menjaga pemakanan masing-masing agar kesihatan diri dapat dijaga dengan baik.

“Masyarakat dikehendaki untuk mengamalkan gaya hidup sihat selaras dengan satu usaha yang diwujudkan kerajaan iaitu ‘Komuniti Sihat, Perkasa Negara’ atau KOSPEN,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengawai Daerah Penampang Luvita Koisun serta tetamu kehormat yang lain.

 

Advertisement