Anda di sini

Sabah lakar sejarah penting lancar projek mega Lebuhraya Pan Borneo

Advertisement

PAPAR: Sabah semalam melakar sejarah penting apabila projek mega Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Andus di sini.

Kira-kira 20,000 rakyat hadir bagi menyaksikan majlis pelancaran itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Pada majlis itu, Najib turut mengadakan persidangan video bersama rakyat di daerah Tawau, Sandakan Keningau dan Kudat sebagai simbolik pelancaran jajaran lebuhraya sepanjang 1,236 kilometer itu.

Persidangan video selama kira-kira 15 minit itu masing-masing diketuai oleh veteran UMNO Sandakan Tan Sri Ampong Puyon, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Sandakan Datuk Hamisa Samat, Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman dan Pegawai Daerah Kudat Sapli Ibrahim.

Persidangan video itu diadakan bagi memberi peluang kepada rakyat di kawasan terbabit melahirkan penghargaan kepada kerajaan atas inisiatif membina lebuh raya berkenaan, yang akan menjadi jaringan menghubungkan kawasan mereka dengan daerah serta bandar lain secara lebih efisien.

Mereka turut menyatakan harapan agar pembinaan lebuh raya itu kelak berupaya melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkat pendapatan penduduk di daerah masing-masing.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak serta menteri-menteri Kabinet Sabah dan Persekutuan. — Bernama

 

Advertisement