Anda di sini

Polis tidak tolak kemungkinan motif pembunuhan disebabkan dendam

Advertisement
 Rashid merakamkan gambar kenangan bersama wakil peserta setiap agensi yang terlibat dalam mengagihkan derma dan sumbangan kepada kira-kira 300 mangsa kebakaran di Kampung Titingan, Tawau.

DERMA: Rashid merakamkan gambar kenangan bersama wakil peserta setiap agensi yang terlibat dalam mengagihkan derma dan sumbangan kepada kira-kira 300 mangsa kebakaran di Kampung Titingan, Tawau.

KOTA KINABALU: Polis tidak menolak kemungkinan bahawa motif pembunuhan dua lelaki berasal dari Sibu di Jalan Kolam berhampiran stesen minyak Petronas Foh Sang, di sini pada 15 April lalu, adalah disebabkan dendam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata, setiap kes pembunuhan yang dilakukan oleh suspek mempunyai sebab tersendiri.

“Dalam kes ini, kemungkinan besar motif pembunuhan adalah untuk membalas dendam kepada mangsa berikutan terdapatnya masalah lain yang kita tidak ketahui antara kedua-dua belah pihak,” katanya pada Majlis Pelepasan Konvoi Prihatin Yadim-PDRM ke Tawau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah Samin Ongki, peserta konvoi dan kakitangan IPK Sabah.

Rashid berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci terhadap kes itu dengan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Datuk Salehhudin Abd Rahman.

Menurutnya, siasatan berkenaan juga masih diteruskan dengan usaha menjejaki suspek dan motosikal yang dinaiki.

“Apa yang penting, orang awam perlu bekerjasama dengan pihak polis agar siasatan tidak terjejas dan membolehkan kita mengetahui keadaan sebenarnya sejurus siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Rashid mengatakan enam helikopter tempur ringan jenis MD-530G daripada syarikat Mcdonnell Douglas yang akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sebelum hujung tahun ini adalah satu pendekatan baik jika ia dilaksanakan.

“Penempatan aset terbaharu ini boleh menambah kekuatan aset sedia ada seterusnya boleh memperkukuhkan lagi pertahanan keselamatan ESSCom,” katanya.

Sementara itu, Rashid berkata selain daripada mengutamakan keselamatan setempat, polis juga berperanan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat dengan kerjasama pelbagai pihak bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.

Polis bersama beberapa agensi termasuklah YADIM dengan sukarelawan Al-Falah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengadakan konvoi bagi mengagihkan derma dan sumbangan termasuk pakaian serta barangan keperluan harian kepada lebih 2,000 mangsa kebakaran ke Kampung Titingan, Tawau.

“Sepanjang konvoi berjalan, anggota di setiap daerah akan bergilir-gilir memberikan kawalan kepada peserta bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin sehingga sampai ke destinasi,” katanya.

Advertisement