Anda di sini

Culik: PDRM sedia bantu Indonesia

Advertisement

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia membantu pasukan keselamatan Indonesia untuk tindakan susulan berhubung kes penculikan empat kru kapal warga Indonesia di perairan selatan Filipina, berhampiran perairan Malaysia, Jumaat lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun berkata sehubungan itu PDRM dan pasukan keselamatan Indonesia perlu bekerjasama bagi mencari kaedah bagi penyelarasan tindakan itu.

“Kita (PDRM) akan berusaha membantu untuk melaksanakan apa sahaja tindakan selanjutnya dengan pihak yang terlibat termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengenai kes culik berkenaan,” katanya.

Abdul Rashid berkata demikian kepada pemberita selepas melawat seorang kru kapal itu yang cedera dalam kejadian culik itu di Hospital Besar Tawau di sini, semalam.

Beliau berkata lima lagi kru kapal yang terselamat dalam insiden itu kini berada di Lahad Datu.

“Kesemua mereka (mangsa) telah memberikan kerjasama sepenuhnya ketika diambil keterangan oleh pihak polis berkaitan kes penculikan tersebut,” katanya sambil menambah kesemua mangsa yang selamat itu berumur di antara 20 dan 40 tahun.

Abdul Rashid berkata penjenayah rentas sempadan kini dilihat telah menukar taktik dengan menyasarkan kapal-kapal tunda yang bergerak perlahan dan mudah dihampiri atau dipintas.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Jumaat lepas, empat daripada 10 kru kapal warga Indonesia diculik oleh kumpulan bersenjata yang memintas kapal tunda mereka, ketika dalam perjalanan dari Filipina ke Indonesia.

Sejurus selepas kejadian yang berlaku di perairan antarabangsa itu, enam kru kapal yang terselamat dipercayai bertindak memasuki perairan negara sebelum diselamatkan oleh pasukan keselamatan Malaysia. — Bernama

 

Advertisement