Anda di sini

Kakitangan SESB terkena renjatan elektrik

Advertisement
 Anggota bomba menurunkan mangsa dari tiang elektrik menggunakan tangga semasa kejadian di Jalan Kampung Ranau.

OPERASI: Anggota bomba menurunkan mangsa dari tiang elektrik menggunakan tangga semasa kejadian di Jalan Kampung Ranau.

KOTA MARUDU: Seorang kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di Jalan Kampung Ranau, di sini petang Khamis lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Ronnie Roger berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan berkaitan kejadian jam 5.13 petang.

Katanya, seramai enam anggota dan empat pegawai termasuk Pegawai Penyiasat dan Ketua Zon digerakkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa dan beberapa rakannya melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan terbabit sejak jam 8 pagi hari kejadian.

“Mangsa terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja terbabit berikutan keadaan cuaca, iaitu hujan renyai-renyai semasa kejadian walaupun penduduk kampung mendakwa bekalan elektrik sudah dipadamkan semasa kerja penyelenggaraan dijalankan.

“Akibat kejadian itu, mangsa kebas di bahagian kedua-dua belah kaki dan anggota bomba melakukan operasi menurunkan mangsa dari tiang elektrik menggunakan tangga.

“Kita berjaya menurunkan mangsa setengah jam kemudian dan menyerahkan mangsa kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Marudu Asisten Superintenden Rohana anak Nanu ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Bagaimanapun, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkenaan kejadian terbabit.

Advertisement