Anda di sini

Pemerkasaan wanita diperjuangkan hingga peringkat akar umbi: Azizah

Advertisement

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata pemerkasaan wanita di negara ini akan diperjuangkan sehingga di peringkat akar umbi.

Katanya, usaha itu bukan hanya pada dasar dan polisi yang digubal oleh kerajaan tetapi adalah dengan memastikan perjuangan itu sampai kepada peringkat akar umbi bagi mencapai kejayaan.

“Dari semua aspek, kita sudah berjaya mencapainya namun dalam aspek pemerkasaan wanita kita masih pada tahap yang rendah.

“Justeru, perbincangan bersama dengan negara lain menerusi persidangan antarabangsa yang melibatkan negara-negara lain mungkin dapat mempertingkatkan lagi pemerkasaan wanita menerusi perkongsian maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa kali ke-2, ‘ASEAN women gender mainstreaming and public policy’, di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Malaysia menjadi tuan rumah bagi persidangan itu dan turut dihadiri peserta dari beberapa negara ASEAN yang lain seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan juga Brunei.

Bercakap mengenai usaha mengarusperdanakan gender, Azizah berkata negara ini juga masih jauh ketinggalan dari segi tenaga kerja wanita disebabkan beberapa faktor.

Menurutnya, dalam beberapa peringkat umur, didapati bahawa wanita akan berhenti dan tidak mahu meneruskan kerja disebabkan cabaran tertentu.

“Dari segi pendidikan, kita mencatat peratusan yang membanggakan yang mana lebih 60 peratus pelajar di universiti terdiri daripada perempuan.

“Namun demikian, apabila dilihat dari segi penempatan kerja, kita (wanita) masih ketinggalan jauh…oleh itu kita mesti melatih dan memastikan mereka terus kekal dalam aspek berkaitan tenaga kerja,” katanya.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid dan tetamu kehormat yang lain.

 

 

Advertisement