Anda di sini

Tujuh beradik yatim piatu dibela

Advertisement

Nasib mereka menjadi viral di media sosial hasil inisiatif pihak sekolah

 Rumah yang daif menjadi tempat tinggal tujuh adik-beradik yatim piatu di Pitas.

MENYEDIHKAN: Rumah yang daif menjadi tempat tinggal tujuh adik-beradik yatim piatu di Pitas.

KOTA KINABALU: Nasib tujuh beradik yatim piatu di daerah Pitas dan tinggal dalam sebuah rumah usang, mendapat perhatian Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna.

Selain bantuan tunai menerusi Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300, kerajaan turut menyalurkan RM450 sebulan menerusi Bantuan Kanak-Kanak (BKK) bermula Mei depan.

Nasib tujuh beradik berumur 5 hingga 17 tahun itu menjadi viral di media sosial apabila pihak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongkol, tempat kanak-kanak itu bersekolah memuat naik status murid berkenaan serta rumah tempat tinggal mereka.

Menurut laporan itu, mereka sudah lama kehilangan ibu, disusuli bapa mereka baru-baru ini. Dalam status itu, bantuan dirayu dari segi kewangan, makanan, pakaian serta peralatan persekolahan.

Dalam reaksi segeranya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, pihaknya juga akan membuat keputusan sama ada tujuh beradik itu ditempatkan di rumah kebajikan atau sebaliknya.

“Perkara itu akan dibincang dengan pelbagai pihak memandangkan kedua-dua ibu bapa mereka sudah tidak ada.

“Namun apa yang pasti, keputusan dibuat berdasarkan kemahuan anak-anak ini dan mengikut keselesaan mereka kerana masih mempunyai nenek dan juga saudara-mara yang lain.

“Penempatan di pusat kebajikan adalah keputusan terakhir untuk mereka,” katanya.

Jainab berkata, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah sudah menyalurkan Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300.

Selain itu, katanya, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM450 sebulan turut diberikan kepada mereka bermula Mei depan.

“JPKA juga akan membantu sekiranya kanak-kanak ini ingin tinggal di rumah sendiri ataupun mahu ditempatkan di rumah kebajikan,” katanya.

 Enam daripada tujuh beradik yatim piatu hidup dalam keadaan daif setelah kematian ibu bapa mereka.

DIBANTU: Enam daripada tujuh beradik yatim piatu hidup dalam keadaan daif setelah kematian ibu bapa mereka.

Advertisement