Anda di sini

Ugut cederakan isteri, lelaki tempatan didenda RM3,000

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya didenda sebanyak RM3,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Elly Ringo, 57, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Stephanie Sherron Abbie, selepas mengaku bersalah.

Tertuduh mengugut mangsa dengan tujuan akan mencederakannya, pada 4 April lalu jam 5 petang, di sebuah rumah, Lorong Segumau, Penampang, Manggatal, di sini.

Atas kesalahan itu, Elly disabitkan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian satu laporan polis dibuat oleh pengadu yang mengatakan diacu kapak oleh tertuduh.

Hasil siasatan, semasa pengadu dan anaknya sampai di rumah, beliau melihat barang-barang miliknya dikeluarkan oleh tertuduh, dari rumah.

Pengadu bertanyakan perkara itu kepada tertuduh, namun tertuduh mengacukan kapak dan bertindak memarahi dan mengugut akan memotong pengadu.

Takut dengan tindakan tertuduh, pengadu terus menyembunyikan diri di dalam bilik anaknya.

Tertuduh juga bertindak mengacukan sebilah parang kepada anaknya kerana cuba untuk melindungi pengadu.

Ketika kejadian, tertuduh ada mengatakan kepada pengadu “kalau kamu tidak lari, saya potong kamu” dan kepada anaknya “saya tetak kau. Sebelum masuk penjara, saya pastikan salah seorang daripada kamu mati.”

Dalam rayuan, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) berkata, tertuduh tidak bekerja dan kejadian berlaku kerana salah faham.

“Permohonan maaf daripada tertuduh diterima oleh isterinya. Isteri dan keluarga tertuduh sudah tidak memarahinya lagi.

“Ini adalah kesalahan pertama tertuduh. Selain itu, tertuduh juga menghidap penyakit strok dan lumpuh di bahagian muka kanan,” katanya dan memohon agar hanya dikenakan denda.

Pendakwaan itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Insp Lim Swee Beng.

Dalam kes berasingan, seorang wanita dan lelaki tempatan didenda sebanyak RM1,500 atau penjara dua minggu oleh mahkamah atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Ang Kai Tat dan Kristiadonna Fredoline Jakius dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka didapati memandu dalam pengaruh alkohol, pada 27 Disember tahun lalu dan 3 Mac tahun ini di Jalan Lintas dan Jalan Coastal, di sini.

Sekiranya disabitkan bersalah, boleh didenda antara RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara sehingga tempoh setahun.

Pegawai Pendakwa Insp Hanif Mamyudi melakukan pendakwaan itu.

 

Advertisement