Anda di sini

Sektor perhotelan digesa beri gaji yang setimpal

Advertisement
 Masidi (tengah) mengadakan sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara PasifiCIty dan Gain for Life Academy di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, kelmarin.

BIAR SETIMPAL: Masidi (tengah) mengadakan sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara PasifiCIty dan Gain for Life Academy di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, kelmarin.

KOTA KINABALU: Majikan dalam sektor perhotelan diharap dapat memberikan gaji yang setimpal kepada kakitangan dalam bidang itu agar mempunyai kesungguhan dalam bekerja.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, majikan harus menyedari hakikat bahawa mereka memerlukan kakitangan yang benar-benar berkemahiran tinggi.

“Kos pengurusan adalah tinggi tetapi dalam jangka yang panjang, majikan akan mendapat keuntungan kerana mendapat kakitangan yang setia selain mempunyai kemahiran yang tinggi.

“Oleh itu, ini adalah satu cara untuk kita untuk mengekalkan kakitangan yang baik di Sabah…saya tidak menyatakan bahawa warga Sabah harus bekerja di negeri sendiri tetapi ini memberikan mereka peluang untuk bekerja di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara PasifiCIty dan Gain for Life Academy di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, kelmarin.

Menurut Masidi, ramai kakitangan yang berkemahiran tinggi di negeri ini terutamanya dalam sektor perhotelan namun bekerja di Kuala Lumpur dan Singapura kerana ditawarkan gaji yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Masidi berkata kerajaan negeri turut mengalu-alukan usaha kedua-dua syarikat dalam pemeteraian MoU itu yang memberikan latihan kepada warga di Sabah bagi kemahiran untuk mengisi kekosongan dalam bidang pelancongan di negeri ini.

“Saya juga berbesar hati kerana matlamat utama kerjsama ini adalah untuk mewujudkan satu pusat latihan yang betul-betul memberi kemampuan praktikal kepada orang-orang muda kita untuk terlibat dan akhirnya menjadi kakitangan industri pelancongan mahupun sektor perhotelan di Sabah,” katanya.

Beliau turut menekankan supaya setiap institusi ataupun kolej bersifat telus dalam perniagaan dan harus menawarkan kursus yang boleh memberi kebolehpasaran kepada pelajar berbanding hanya mengaut keuntungan semata-mata.

 

 

Advertisement