Anda di sini

Penanam nanas rugi akibat kebakaran

Advertisement

 Seorang petani, Ina Ongkin, 53, menunjukkan ladang tanaman nanasnya yang musnah dalam kebakaran hutan akibat kemarau panjang di Kampung Makayol Takuli, semalam. — Gambar Bernama

MUSNAH: Seorang petani, Ina Ongkin, 53, menunjukkan ladang tanaman nanasnya yang musnah dalam kebakaran hutan akibat kemarau panjang di Kampung Makayol Takuli, semalam. — Gambar Bernama

BEAUFORT: Penantian selama tujuh bulan penduduk Kampung Makayol Takuli dan Kampung Takuli dekat sini untuk menuai hasil nanas madu mereka berkecai sekelip mata apabila tanaman tersebut musnah dalam kebakaran tanah gambut baru-baru ini.

Tinjauan Bernama di kedua-dua kampung sebelah-menyebelah itu mendapati sebahagian nanas musnah manakala yang terselamat tidak pula membuahkan hasil akibat cuaca panas dan kering yang sedang dialami.

Nanas tersebut ditanam di kawasan tanah gambut yang berintegrasi dengan tanaman getah.

“Kawasan tanaman nanas saya musnah seluas satu lot (0.4 hektar) daripada 0.8 hektar,” kata Ina Ongkin, 53, yang mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.

Beliau berkata setiap lot biasanya ditanam kira-kira 13,000 anak pokok nanas.

“Kualiti nanas yang tidak terbakar juga terjejas kerana saiz yang mengecil akibat cuaca panas dan kering yang begitu panjang tahun ini,” tambahnya.

Beliau berharap bantuan daripada agensi berkaitan untuk melakukan tanaman semula dan mencegah kebakaran yang sering berlaku.

Zulkaranain Aliamat, 43, dari Kampung Takuli turut mengalami kerugian apabila 0.4 hektar kawasan tanamannya yang sudah mengeluarkan buah dan menunggu masa untuk masak musnah.

“Umur tanaman saya sudah masuk tujuh bulan dan menunggu masa untuk masak. Saya tidak dapat menuai apa-apa kali ini,” katanya.

Beliau juga mengeluh kerana cuaca panas turut menjejaskan tanamannya yang lain.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shaid Othman dilapor sebagai berkata kebakaran bermula di Hutan Simpan Binsulok yang kemudian merebak ke kawasan pertanian tersebut yang puncanya disyaki adalah angkara pemburu haram.

Kebakaran turut merebak ke kawasan Projek Mini Estate Sejahtera (MESEJ) Binsulok yang dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB). — Bernama

 

Advertisement