Anda di sini

Tanah kampung diceroboh, penduduk Bintasan Darat mohon YB campur tangan

Advertisement

KOTA MARUDU: Penduduk Kampung Bintasan Darat kira-kira 20km dari sini meminta campur tangan ahli Yang Berhormat membantu menangani masalah pencerobohan syarikat perladangan ke atas tanah mereka.

Ketua Kampung Maralim Dahi berkata, syarikat berkaitan mula memasuki kawasan tanah penduduk Januari lalu dan pihaknya telah mengadukan perkara itu kepada Pegawai Daerah melalui sepucuk surat yang telah dihantarnya.

“Kami telah memohon agar Pegawai Daerah selaku Penolong Pemungut Hasil Tanah dapat mengambil tindakan mengatasi pencerobohan itu atau berdialog dengan penduduk untuk menangani kes berkenaan,” kata Maralim.

Bagaimanapun kata Maralim, sehingga kini pihaknya belum mendapat sebarang jawapan rasmi malahan apa yang pihaknya diberitahu permohonan mereka tidak mendapat reaksi positif.

“Saya diberitahu pegawai berkaitan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa menahan kontraktor terbabit daripada terus menceroboh kawasan tanah dan merosakkan segala tanaman penduduk termasuk pondok dan sebuah kuburan,” katanya.

Menurut Maralim, kawasan yang diceroboh melibatkan kira-kira 1,500 ekar yang diduduki suku kaum Rungus kira-kira 800 orang yang terdiri daripada kira-kira 80 keluarga.

Maralim memberitahu, kontraktor terus membersihkan kawasan yang telah diusahakan penduduk dengan tanaman getah dan buah-buahan.

Maralim menambah, mereka telah menduduki kawasan itu sejak beberapa generasi yang dianggarkan semenjak 150 tahun yang lalu.

Satu laporan polis telah dibuat pada 18 Mac lalu berhubung kejadian itu berserta senarai dan jumlah kerosakan tanaman yang telah dirosakkan untuk tujuan mendapat pampasan atau mengenakan sogit kepada pelaku pencerobohan.

Maralim seterusnya memaklumkan sebuah rumah miliknya berukuran 20 x 18 kaki berserta peralatan pertanian, bibit sawit dan pokok getah berusia lebih empat tahun turut dimusnahkan.

“Malahan sebuah kuburan nenek moyang kami telah dimusnahkan dan tindakan mahkamah sedang diambil ke atas penceroboh,” kata Maralim.

Sementara itu Mataim Barakat, 64, berkata, penduduk perkampungan itu menjadi mangsa kepada proses legalisasi pemilikan tanah pihak terbabit yang baharu saja memasuki kawasan itu tanpa mempedulikan hak tanah adat penduduk.

Advertisement