Anda di sini

Hujan akhirnya turun di Sabah

Advertisement
 Madius bersama dengan tetamu kehormat yang lain merakamkan gambar kenangan bersama guru-guru dan pelajar selepas penyerahan akhbar Tutor.

UNTUK SEKOLAH: Madius bersama dengan tetamu kehormat yang lain merakamkan gambar kenangan bersama guru-guru dan pelajar selepas penyerahan akhbar Tutor.

Seluruh negeri dijangka mulai lembap sehingga 14 April ini

TUARAN: Menteri Sains, Tekonologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Madius Tangau berkata, keadaan di seluruh Sabah dijangka mulai lembap bermula semalam sehingga 14 April ini.

Menurutnya, hujan telah pun mula turun di beberapa tempat di Sandakan, Pantai Barat dan juga di beberapa kawasan pedalaman bermula kelmarin.

“Sebenarnya keadaan El Nino kita masih berada pada tahap yang kuat sekarang ini dan akan beransur menuju ke tahap sederhana sebelum bertukar menjadi lemah dan akhirnya sampai pada tahap neutral pada bulan Jun ini.

“Justeru, El Nino hanya akan berakhir pada bulan Jun ini,” katanya ketika ditemui media pada majlis penyampaian Anugerah Cemerlang peringkat daerah Tuaran dan penyerahan akhbar tutor kepada sekolah-sekolah Parlimen Tuaran, di sini kelmarin.

Sementara itu, bercakap mengenai operasi pembenihan awam, Madius berkata operasi itu telah diadakan di sekitar Beaufort hingga kawasan Penampang pada Khamis lalu dan hanya berjaya menerima sedikit hujan iaitu selama 30 minit.

Manakala operasi pembenihan awan yang dirancang dilakukan pada malam Jumaat lalu tidak dapat dilakukan kerana Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggunakan pesawat C130 terbabit.

“Bagaimanapun hujan telah pun turun di beberapa tempat bermula hari ini (semalam) dan seluruh Sabah dijangka mulai lembap bermula esok  (hari ini),” katanya.

Dalam perkembangan lain Madius berkata, kementeriannya akan terus memantau perkembangan cuaca dari semasa ke semasa dan berkongsi data terkini mengenai perkara itu.

“Setakat jam 4 petang semalam (kelmarin), lima daerah di Sabah berada di tahap satu iaitu mencatat suhu maksimum 35 hingga 37 darjah celcius selama tiga hari berturut-turut iaitu daerah Beaufort, Keningau, Kota Belud, Kota Marudu dan Beluran,” tambahnya.

Advertisement