Anda di sini

RTM platform terbaik kembang karya lagu etnik tempatan

Advertisement

KOTA BELUD: Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan platform terbaik bagi mengembangkan karya lagu etnik tempatan di negeri ini, kata penyanyi dan pencipta lagu suku kaum Bajau Sabah, Malek Nasir.

Menurut Malek, 52, beliau yakin stesen nasional itu mampu membawa karya lagu etnik tempatan ke tahap lebih tinggi melalui program yang dianjurkan.

“Sebab itulah, saya mencipta lagu yang lebih komersial, boleh diterima oleh setiap lapisan masyarakat di mana-mana sahaja, bukan setakat di Sabah,” katanya ketika ditemui selepas dinobatkan sebagai naib juara Pertandingan Akhir Lagu-Lagu Bajau Dalam Carta Sabah Vfm Musim Keenam di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pengarah Penyiaran Sabah Ali Ngasio.

Malek, yang turut memenangi kategori vokal terbaik lagu ‘Embal Kegantian’ bermaksud ‘tiada pengganti’, berkata program berkenaan harus diteruskan bagi memberi peluang penyanyi, pencipta dan pemuzik etnik tempatan mengembangkan karya mereka.

Bagi juara pertandingan itu, Jaidy Kamlun, 34, program RTM itu mendapat sambutan baik daripada kalangan peminat lagu bahasa etnik tempatan dan berharap lagu Bajau dapat dikomersialkan sebagai usaha memartabatkan bahasa kaum itu.

Jaidy yang terkenal dengan panggilan Lobo, yakin bahawa lagu ciptaannya bertajuk ‘Diya’e Ka Paniksa Nu Maaku’ bermaksud ‘inikah penyeksaanmu padaku’ akan membawa kemenangan kepadanya.

Sementara itu, pemenang tempat ketiga Marjah Mujar, 50, pula berkata usaha RTM mencungkil bakat nyanyian dan penciptaan lagu dalam bahasa etnik tempatan harus dipuji.

Penyanyi itu turut memenangi persembahan terbaik dan lirik terbaik bagi lagu ‘Sibpandung’ yang bermaksud ‘tempat berlindung’.

Juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500, RM2,500 dan RM1,500 berserta sijil dan piala.

Sementara pemenang bagi vokal, persembahan dan lirik terbaik pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil dan piala.

Lagu paling popular melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dimenangi lagu ‘Nginie Kau Nia Biraei’ bermaksud ‘kenapa kau tidak kasihan’ nyanyian Norinah Mainur, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta sijil dan piala. — Bernama

Advertisement