Anda di sini

RM800 juta bina jalan dari Kanowit ke Kapit

Ia merupakan komitmen kerajaan BN sedia infrastruktur, akses perhubungan kepada rakyat luar bandar

Oleh Florence Nervyn //

KANOWIT: Peruntukan pembangunan mencecah RM800 juta bagi pembangunan jalan raya demi kemudahan rakyat di Kanowit ke Kapit telah dilulus kerajaan pusat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun  Razak.

Jelasnya, pembangunan itu merupakan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menyediakan infrastruktur dan akses perhubungan kepada rakyat khususnya di luar bandar.

“Tujuan saya mengadakan lawatan ke kawasan Kapit dan Kanowit hari ini untuk melihat kemajuan jalan yang menghubungkan Kapit dengan dunia luar yang telah dilulus kerajaan.

“Saya dapat lihat bahawa kemajuannya amat menggalakkan dan ada pakej melebihi jadual. Saya juga ingin maklumkan jalan disebutkan sebagai ‘missing link’ itu akan dilulus kerajaan dalam sedikit masa lagi,” jelasnya.

Ketika ditemui pada sidang media selepas mengadakan program ‘Walk About’ di Taman Muhibah semalam, Najib berkata, dijangka dengan laluan baharu yang melibatkan bypass akan menelan belanja lebih kurang RM150 juta.

“Jambatan kecil Sungai Yong satu laluan itu kita akan ditambah jadi dua laluan dengan kos sebanyak RM20 juta. Pembinaan jalan Kapit ke Kanowit kita lulus akan siap pada pertengahan 2017.

“Yang ‘missing link’ dalam proses penentuan kontraktor dan dijangka siap pada pertengahan 2018,” ujarnya.

Najib memberitahu bahawa beliau juga melawat ke kawasan Nanga Ngungun yakni kawasan Rascom dahulu, di mana penduduk telah diarah berpindah kerana pertimbangan keselamatan bagi menjamin dapat mengalahkan komunis pada masa itu.

“Saya lihat tempat tersebut tidak begitu maju, malah boleh dikatakan mundur kerana mereka tak dapat asas ekonomi.

“Salah satu keperluan supaya mereka dapat mencari punca ekonomi yang lebih stabil dan memuaskan ialah untuk mereka mendapatkan akses ke kawasan tanah adat asal mereka dulu.

“Justeru mereka mohon sebatang jalan iaitu Jalan Ngungun untuk sambungan ke Nanga Jagau seluas 20 kilometer. Saya telah beri kelulusan kerajaan untuk melaksana projek ini pada taraf R1 peringkat mula tanah kerikil (gravel) dan ini akan menelan belanja RM50 juta,” katanya.

Katanya beliau akan berbincang dengan Kementerian Pertahanan untuk jalan dari Nanga Jagau ke Simunjan sepanjang 17 kilometer dilakukan oleh jurutera Tentera Darat di bawah Program Jiwa Murni.

“Apabila kedua-dua jalan tersebut siap, penduduk boleh akses ke tanah mereka.

Inilah yang saya beri contoh bahawa kerajaan bukan sahaja bercakap tetapi kita mampu melaksanakan.

“Kita telah membuktikan kemampuan membawa kemajuan ke kawasan luar bandar seperti kawasan Kapit dan Kanowit yang amat memerlukan perhubungan dan pembangunan infrastruktur bagi membuka kawasan ini dari segi urusan ekonomi,” jelasnya.

Perdana Menteri percaya apabila program dan projek dilaksana nanti siap sepenuhnya dalam masa lebih kurang 2 setengah tahun, maka kawasan Kanowit dan Kapit akan menjurus kepada masa depan jauh lebih baik.

“Walaupun ekonomi dunia kita tidak menentu dan mengancam kita dari segi kejatuhan harga minyak dengan begitu ketara, oleh kerana kita telah laksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), maka GST memungkinkan kita melaksana projek infrastruktur di luar bandar.

“Tanpa GST tak mungkin Lebuh Raya Pan Borneo dapat kita laksanakan dan tak mungkin Jalan Kapit, Kanowit dan Song dapat kita laksanakan dan tak mungkin jalan yang saya sebut tadi dapat dipertimbang,” katanya.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Datuk Gramong Juna dan Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee.

Sementara itu, Perdana Menteri semalam turut meluangkan masa meninjau projek pembinaan jalan dan jambatan Sungai Kanowit selepas mengadakan program ‘Walk About’ di Rumah Taboh Rimau di Nanga Ngungun, Kanowit.

Projek pembinaan jalan dan jambatan Sungai Kanowit merupakan salah satu komponen projek Jalan Kanowit-Kapit menelan kos RM50 juta dijangka siap pada Jun 2017, kini siap 49 peratus.