Anda di sini

Gabungan Persatuan Tiong Hua Sabah, Labuan beri banyak manfaat

Advertisement

SANDAKAN: Gabungan Persatuan Tiong Hua Sabah dan Labuan yang wujud sejak 25 tahun lalu telah membawa banyak kebaikan dan manfaat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Menurut beliau, ia bukan sahaja kepada gabungan itu sendiri, tetapi juga kepada seluruh lapisan rakyat di negeri ini memandangkan ramai dalam kalangan masyarakat itu yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dan ekonomi.

Katanya, 25 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat kerana gabungan itu telah banyak membangun dan memajukan masyarakat Tiong Hua selain membantu kerajaan negeri dalam menjayakan pelbagai program dan agenda ekonomi demi kemajuan dan kemakmuran negeri.

“Sehubungan itu, amat penting untuk gabungan ini terus bersama kerajaan dalam memastikan tahap kemajuan yang diingini serta mengecapi suasana yang lebih stabil.

“Ini sudah tentu akan menjadikan negeri ini sebagai pilihan pelabur asing dan domestik memandangkan suasana yang kondusif dan selesa membolehkan mereka menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-25 Gabungan Persatuan Tiong Hua Sabah dan Labuan di Dewan Hakka di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Edward Yong Oui Fah selain pemimpin-pemimpin tempatan, jawatankuasa serta ahli persatuan.

Pada majlis makan malam itu, Musa turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 ribu untuk kegunaan gabungan persatuan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Tiong Hua Sabah dan Labuan, Datuk Edward Khoo berkata, pihaknya lega kerana kerajaan negeri sentiasa mementingkan kehendak dan permintaan masyarakat Tiong Hua tidak kira dalam bidang pendidikan atau isu-isu setempat.

Katanya, ia terutama dalam pengagihan peruntukan bagi menaik taraf dan pembangunan sekolah-sekolah aliran bahasa Cina serta tokong dan gereja.

“Sejak Datuk Musa menjadi Ketua Menteri, peruntukan untuk sekolah-sekolah Cina dan badan-badan keagamaan bukan Islam telah dinaikkan dari setahun demi setahun.

“Pemberian peruntukan seumpama ini, Sabah merupakan negeri pertama yang memasukkannya dalam bajet tahunan secara sistematik.

“Ini terbukti, beliau adalah seorang pemimpin yang adil dan mempunyai pandangan sama rata terhadap semua kaum.

“Oleh itu, saya menyeru rakyat agar sama-sama berganding bahu dan bekerjasama dengan kerajaan negeri agar dapat membina sebuah negeri yang maju, makmur dan harmoni,” jelasnya.

Gabungan Persatuan Tiong Hua Sabah dan Labuan terdiri daripada 59 buah persatuan di seluruh Sabah dan Labuan.

Jumlah itu terdiri daripada lima gabungan pertubuhan kaum Tiong Hua peringkat Sabah dan Labuan iaitu Persekutuan Persatuan-Persatuan Teo Chew Sabah dan W.P Labuan (enam persatuan), Gabungan Persatuan-Persatuan Hokkien Sabah dan W.P Labuan (21), United Sabah and Federal Territory of Labuan Hakka Association (15), The United Sabah Sze Yip Assocation (lima), dan Gabungan Persatuan-Persatuan Hainan Sabah dan W.P Labuan (lapan) selain empat persatuan induk iaitu Persatuan Nam Hoi Sandakan, Persatuan Chung Shan Sabah, Persatuan Poon Yue Sandakan dan Persatuan Tung Onn Sandakan.

Advertisement