Anda di sini

Data pembawa gen talasemia dalam MyKad

Advertisement
 Francis (depan, empat kanan) bersama Pakar Pediatrik Hospital Wanita dan Kanank-Kanak Likas Dr Kogilavani Gunasagaran (depan, lima kanan) bergambar dengan ahli-ahli Persatuan Talasemia Sabah dan peserta yang mengambil bahagian dalam Forum Sabah Sifar Talasemia Major Tahun 2030, kelmarin.

KESEDARAN: Francis (depan, empat kanan) bersama Pakar Pediatrik Hospital Wanita dan Kanank-Kanak Likas Dr Kogilavani Gunasagaran (depan, lima kanan) bergambar dengan ahli-ahli Persatuan Talasemia Sabah dan peserta yang mengambil bahagian dalam Forum Sabah Sifar Talasemia Major Tahun 2030, kelmarin.

Memastikan pembawa gen talasemia mengetahui status

KOTA KINABALU: Ke arah membantu memudahkan orang ramai mengenal pasti pembawa gen talasemia, Persatuan Talasemia Sabah bersama agensi berkaitan akan bekerjasama bagi mendapatkan kelulusan kerajaan negeri bagi memasukkan data pembawa gen dalam cip kad pengenalan (MyKad).

Presiden Persatuan Talasemia Sabah Francis Mujim berkata, mereka mencadangkan kepada kerajaan agar memberi kebenaran kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk meletakkan data tentang pembawa gen talasemia ini dalam MyKad bagi memudahkan pasangan yang ingin berkahwin mengetahui status masing-masing.

Beliau berkata, usaha itu dilihat sebagai langkah pencegahan bagi memastikan pembawa gen talasemia ini mengetahui status gen masing-masing terutama dalam kalangan remaja.

Katanya, jika pembawa gen ini ingin berkahwin dengan pembawa gen talasemia lain, kaunseling akan diberi kepada pasangan berkenaan bagi memberitahu mereka tentang risiko yang akan dihadapi jika mereka mempunyai anak.

Atas sebab itu, ditekankan sejak awal lagi bahawa saringan talasemia perlu dilakukan kepada mana-mana pasangan yang ingin berkahwin.

“Di peringkat persatuan, kita telah menjalankan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri bagi melaksanakan ujian saringan talasemia kepada pelajar tingkatan empat di semua sekolah di seluruh negeri.

“Ini antara usaha awal yang dilakukan bagi memastikan risiko kelahiran baharu talasemia major dapat dikurangkan sehingga menjadi sifar menjelang 2030,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Forum Sabah Sifar Talasemia Major Tahun 2030, di Dewan Semarak, Wisma Dang Bandang, di sini kelmarin.

Ayah kepada pesakit talasemia ini berkata, kesedaran yang kurang dalam kalangan masyarakat untuk melakukan saringan talasemia menyebabkan kelahiran baharu talasemia major di negeri ini tidak menunjukkan sebarang penurunan.

Namun, beliau yakin sasaran sifar talasemia major menjelang 2030 akan dapat dicapai dengan usaha-usaha awal yang dilakukan pada masa ini.

Mengenai jumlah pembawa gen talasemia yang direkodkan di Sabah, beliau berkata, sejak 2005 hingga 2014 terdapat seramai 15, 759 orang pembawa gen dikenal pasti melalui saringan talasemia yang dilakukan.

Katanya, kekangan yang dihadapi oleh pengamal perubatan dalam melakukan kempen kesedaran di seluruh negeri ini memberi kelebihan kepada persatuan itu untuk melaksanakan kempen kesedaran termasuk forum seperti itu bagi meningkatkan kesedaran tentang risiko yang dihadapi oleh pesakit dan pembawa gen talasemia.

Francis berkata, forum sebegini akan terus dianjurkan dari masa ke masa di seluruh Sabah bagi memastikan mesej kesedaran tentang kepentingan saringan talasemia dan risiko yang dihadapi pesakit dan pembawa gen dapat disampaikan kepada orang ramai.

Beliau juga menasihati ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap talasemia supaya sentiasa menitikberatkan pembelajaran anak-anak.

Katanya, jangan disebabkan anak mereka perlu menjalani pemindahan darah setiap bulan, pelajaran anak-anak itu terabai.

Ia kerana ramai antara pesakit talasemia di luar sana terutama di Semenanjung Malaysia berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah dan Ijazah Sarjana Muda.

Ibu bapa perlu meletakkan keyakinan bahawa anak mereka boleh hidup lebih lama kerana dengan kemajuan teknologi perubatan masa kini, jangka hayat pesakit talasemia lebih panjang. Ia terbukti apabila ratusan pesakit talasemia pada masa ini sudah berusia lebih 20 tahun.

Advertisement