Anda di sini

Penyayang sifat profesional guru

Advertisement

 Jame (tiga kiri) bersama pegawai pendidikan dan tetamu jemputan selepas melancarkan Program Guru Penyayang, Guru Turun Padang di SK Likas kelmarin.

PENYAYANG: Jame (tiga kiri) bersama pegawai pendidikan dan tetamu jemputan selepas melancarkan Program Guru Penyayang, Guru Turun Padang di SK Likas kelmarin.

KOTA KINABALU: Membudayakan amalan penyayang adalah sifat profesional guru dalam hubungan bersama murid, ibu bapa dan komuniti.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip berkata, hanya dengan sifat penyayang membolehkan guru melaksanakan tugas hakiki mendidik dan membentuk sahsiah murid.

Katanya, tingkah laku guru dalam bilik darjah dan interaksi bersama murid adalah penentu sama ada guru berkenaan seorang yang penyayang atau sebaliknya.

Sehubungan itu katanya, konsep ‘Guru Penyayang, Guru Turun Padang’ mampu menerapkan budaya penyayang dalam kalangan guru.

“Konsep Guru Penyayang bukan setakat di sekolah sahaja, tetapi ia diperluaskan kepada amalan berkunjung ke rumah murid atau ke tempat berkumpulnya pelajar yang ponteng sekolah.

“Usaha ini membolehkan para guru lebih mengenali dengan lebih dekat punca murid tidak hadir ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Pelancaran Guru Penyayang, Guru Turun Padang di Sekolah Kebangsaan (SK) Likas, di sini kelmarin.

Jame berkata pelaksanaan konsep berkenaan juga diharap dapat memberikan kesedaran kepada guru untuk terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada murid.

Ia kerana jelasnya, murid adalah pelanggan yang utama dan pada masa sama, kebajikan para murid juga dapat diambil berat.

“Amalan turun padang dianggap dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara guru dan keluarga anak murid mereka.

“Ia sekali gus mendorong para guru supaya lebih memahami setiap kekangan atau masalah yang dihadapi oleh murid sekolah,” katanya.

Menurutnya, guru yang penyayang sentiasa percaya dan yakin kepada muridnya. Justeru, murid akan lebih yakin dan percaya dengan kebolehan diri masing-masing.

 

Advertisement