Anda di sini

Penduduk gusar dengan keadaan Sungai Labuk

Advertisement

BELURAN: Penduduk Kampung Buis merasa tidak tenteram dengan keadaan Sungai Labuk yang didakwa mereka tercemar akibat aktiviti pengambilan batu dari sungai berhampiran perkampungan mereka.

Seorang pemimpin kampung berkenaan, Lisman Asau, 42, berkata selain sumber hasil sungai terjejas, air sungai tidak selamat untuk kegunaan harian penduduk kampung dan kebun milik mereka yang berhampiran dengan Sungai Labuk mengalami hakisan tanah.

Beliau berkata beberapa tindakan telah dilakukan oleh penduduk kampung untuk mendapatkan pihak yang terbabit menghentikan kerja mereka namun mengalami kegagalan disebabkan ada pemimpin kampung lain yang enggan bekerjasama.

“Penduduk kampung merayu kepada pihak kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya supaya kawasan sungai kami tidak dirosakkan sewenang-wenangnya,” katanya kepada media di Sandakan.

Lisman memberitahu penduduk menggunakan air sungai untuk memasak, minum, mencuci kain dan mandi tetapi kerja mengambil batu dari punca utama sumber air mereka telah mencemari sungai berkenaan.

“Kita juga menangkap hasil sungai seperti ikan untuk makanan harian tetapi malangnya ikan kini pun sudah berkurangan akibat pencemaran sungai,” katanya.

Beliau berkata Kampung Buis yang terletak 12 kilometer dari Pekan Telupid dan dua jam perjalanan dari Sandakan, mempunyai lebih kurang 200 penduduk yang kebanyakannya pekebun.

Hadir bersamanya ketika bertemu media di Sandakan ialah seorang penduduk kampung yang juga pesara kerajaan Kail Bana, 55.

 

Advertisement